Hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan RM311.8 juta

Parlimen: Hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan RM311.8 juta

ANTHONY LOKE -JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutip hasil sebanyak RM311.8 juta daripada jualan nombor pendaftaran kenderaan pada 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi penjualan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri M_M pula mencecah sebanyak RM21 juta.

Menurut beliau, hasil kutipan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan sejak 2018 hingga 2023.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak menerima inisiatif dana daripada penjualan nombor pendaftaran kenderaan tersebut kerana ini merupakan hasil yang disatukan,” katanya semasa sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta kementerian menyatakan kutipan hasil daripada tawaran bidaan NPI dan perincian inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MOT dengan menggunakan hasil kutipan NPI sejak 2018 sehingga 2023.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bermula tahun ini sebahagian daripada penjualan NPI akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Iaitu kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi yang akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Sebanyak 100,000 topi keledar kanak-kanak dibekal dan diagihkan kepada keluarga kurang mampu dan ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat 60,000 pelajar kurang mampu terutama di Wilayah Labuan, Sarawak dan Sabah.

“Inisiatif pembiayaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×