LTdL 2024 paling mencabar

LTdL 2024 paling mencabar

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abdul Halim bergambar selepas majlis pelancaran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 bakal menjadi perlumbaan paling mencabar dalam sejarah perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia itu dengan Langkawi dan Sarawak kembali disenaraikan ke kancah saingan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam aksi di Sarawak nanti, julung kalinya dua peringkat perlumbaan akan dilangsungkan di negeri tersebut dengan Miri serta Bintulu terpilih menjadi tuan rumah.

“Bandar Kulai di Johor juga buat kali pertama dipilih pada tahun ini, dengan keseluruhan 11 negeri akan jadi hos pelepasan dan penamat untuk laluan perlumbaan LTdL 2024.

“Tiga negeri tidak terlibat edisi kali ini iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah,” katanya kepada pemberita sewaktu menghadiri majlis pelancaran laluan LTdL 2024 di sini, semalam.

Menurut Hannah, jarak perlumbaan edisi ke-28 ini membabitkan sejauh 1,191 kilometer (km) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penganjur menjanjikan cabaran lebih sukar dengan dua pendakian berturut-turut di Cameron Highlands dan Genting Highlands pada peringkat tiga serta empat.

Jelasnya lagi, Sarawak pernah menjadi hos empat tahun lalu dengan laluan membabitkan di sekitar Kuching dan kali ini, pelumba-pelumba bakal diuji dengan jarak perlumbaan hampir 200km untuk peringkat ketujuh dan kelapan dari Miri ke Bintulu.

“Pada peringkat di Miri ke Bintulu, pelumba-pelumba berpeluang membuat pemecahan (breakaway) dan mampu menjadi penentu juara keseluruhan bagi penganjuran LTdL kali ini,” ujarnya.

Hannah memberitahu, tiga pasukan negara disahkan akan menyertai perlumbaan kali ini iaitu skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Terengganu Cycling Team dan Malaysia Profesional Cycling (MPC).

Tambahnya, untuk status penyertaan bagi pasukan World Team, pasukan Pro dan kontinental hanya akan disahkan pada Ogos nanti.

“Jangkaan pasukan dan pelumba selain Malaysia pada tahun ini adalah dari negara Kazakhstan, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Switzerland, Australia, China, Indonesia dan Jepun,” katanya.

Mengulas pula mengenai penajaan, beliau mengalu-alukan pembabitan syarikat-syarikat korporat untuk menjadi penaja, selain sokongan kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan yang banyak membantu selama ini.

LTDL 2024 dijadualkan bermula pada 29 September sehingga 6 Oktober 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×