Daftar PADU atau berisiko tercicir bantuan

Daftar PADU atau berisiko tercicir bantuan

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan B40 dan B60 di 4,752 kawasan di seluruh negara dikenal pasti sebagai golongan masyarakat yang berisiko tercicir daripada mendapat inisiatif atau bantuan kerajaan kerana mereka tidak mendaftar maklumat diri menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Lebih membimbangkan, penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai data dalam apa jua pangkalan data bantuan kerajaan sebelum ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dalam konteks pelaksanaan PADU, pengemaskinian oleh rakyat atau rekod pentadbiran individu divisualisasi sehingga di peringkat lokaliti yang merujuk kepada nama diberikan kepada sesuatu tempat didiami orang tempatan dengan pertalian sosial seperti kampung atau taman perumahan.

Menurut beliau, antara contoh lokaliti yang dimaksudkannya adalah di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kondominium, pangsapuri, rumah kos rendah, kuarters, rumah kedai, rumah air atau rumah panjang dan rumah sebuah-sebuah.

“Penelitian pengemaskinian PADU di peringkat lokaliti ini akan menjadi input untuk memastikan semua kawasan diliputi, mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran.

“Penduduk di kawasan ini, walaupun dikenal pasti dalam kalangan B40 dan B60, tidak mempunyai data dalam apa-apa pangkalan data bantuan kerajaan sebelum ini. Penduduk di lokaliti ini berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program atau bantuan kerajaan yang akan datang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Rafizi berkata, setakat pukul 11.59 malam semalam, seramai 5.43 juta individu sudah mengemaskini data masing-masing di dalam sistem PADU.

“PADU yang dilancarkan pada 2 Januari lalu adalah antara komitmen kerajaan untuk membangun dan mewujudkan satu pangkalan data yang akan menjadi sumber rujukan utama kepada semua agensi dalam membuat keputusan berpandukan data tepat, selain menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“PADU juga akan dapat membantu kerajaan untuk menggukuhkan kemampanan fiskal negara serta memberi ruang untuk melaksanakan reformasi fiskal bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dalam tempoh dua minggu ke depan, kementeriannya dan pasukan PADU akan terus mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah terutamanya membabitkan kawasan yang dikenal pasti berisiko keciciran.

Kata beliau, satu pertemuan akan diadakan pada 23 Mac depan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Rakyat (ADUN), Pegawai Daerah (DO), Ketua Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Kita mahu mendapatkan kerjasama pihak berkaitan untuk membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan rakyat, terutamanya di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan sebelum 31 Mac 2024.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah yang sama, mengumpulkan wakil-wakil penduduk dari kawasan-kawasan berisiko tinggi keciciran, untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan tersebut.

“Mulai 31 Mac dan seterusnya, data sedia ada dan telah dikemaskini dalam PADU akan digunakan sebagai panduan untuk merangka dasar serta akan digunakan untuk menentukan kelayakan individu untuk program kerajaan, bantuan dan subsidi.

“Jika anda tidak mendaftar dan mengemaskini data di dalam PADU, kerajaan akan menggunakan data sedia ada dari jabatan kerajaan namun ia berisiko tidak tepat atau tidak terkini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×