SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) memeterai perjanjian baharu yang akan melanjutkan pengurusan lapangan terbang syarikat itu untuk tempoh 45 tahun sehingga 11 Februari 2069 berbanding perjanjian sebelum ini yang berakhir pada 2034.
Perjanjian bersama kerajaan itu termasuk perjanjian operasi (OA) untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perjanjian berasingan untuk lapangan terbang yang telah ditetapkan bertujuan memastikan pertumbuhan mampan dan perkhidmatan yang lebih baik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, MAHB perlu memastikan aspek-aspek penyelenggaraan di kesemua 39 lapangan terbang di bawah kendaliannya diberi keutamaan dengan termeterainya perjanjian tersebut.
Ujarnya, ia bertujuan untuk memastikan perkhidmatan pengendalian lapangan terbang yang diberikan oleh MAHB berada pada tahap yang cemerlang dan efisien setiap masa.
“Perkhidmatan pengendalian lapangan terbang seperti perkhidmatan kaunter daftar masuk, perkhidmatan tren, bas, tandas, bagasi, troli dan sebagainya adalah sangat penting bagi mewujudkan suasana dan pengalaman yang lebih selesa kepada penumpang.
“MAHB juga perlu memastikan penambahbaikan berterusan dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan, melancarkan aliran pergerakan penumpang dan mewujudkan suasana ceria kepada pengguna lapangan terbang. Ini sangat penting terutama untuk mempersiapkan Malaysia sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Seperti hasrat tahun lepas, saya mahu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali kepada kegemilangan terdahulu dalam kedudukan 10 lapangan terbang terbaik di dunia dalam Skytrax,” katanya.
Anthony Loke berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian OA dan LA di antara Kerajaan Malaysia dan MAHB di sini semalam.
Mengulas lanjut, Anthony berkata,kerajaan yakin daya saing global perkhidmatan lapangan terbang negara dapat ditingkatkan seterusnya menggalak dan mempercepatkan pertumbuhan industri penerbangan negara demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan gagasan Malaysia Madani.
Jelas beliau, syarat-syarat material baharu di bawah OA dan LA berkenaan akan membolehkan kerajaan dan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial yang lebih berdaya saing.
Katanya lagi, ia turut berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan oleh MAHB.
“Dengan pelaksanaan konsep subsidi bersilang, semua aspek-aspek pengurusan dan penyelenggaraan 17 buah STOLports yang merupakan tanggungjawab sosial kerajaan pada masa ini akan terus dipertanggungjawabkan kepada MAHB sehingga 2069.
“Pelaksanaan OA dan LA baharu juga akan membolehkan MAHB merencana perancangan pembangunan jangka panjang yang lebih baik bagi semua lapangan terbang di bawah seliaannya, mengambil kira kepakaran dan pengalaman MAHB yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian yang memberangsangkan.
“Ia juga akan membolehkan MAHB membantu meringankan beban kerajaan dengan mengambil alih kos pembangunan yang melibatkan lapangan terbang yang kompetitif dan berdaya saing pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, matlamat kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan adalah untuk memastikan pertumbuhan yang seimbang dan mampan bagi lapangan-lapangan terbang negara.
“Sektor udara mencapai prestasi cemerlang dengan peningkatan pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik sebanyak 10.7 peratus pada Januari 2024 berbanding Januari 2023.
“Jumlah pergerakan penumpang dicatatkan di lapangan terbang seluruh negara adalah 81.9 juta orang pada tahun 2023, tertinggi sejak pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN









