PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 9 September ini sebagai tarikh akhir rayuan pendakwaan berhubung pembebasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail menangguhkan rayuan yang sepatutnya didengar hari ini, selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan yang mewakili Timbalan Perdana Menteri.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah turut menetapkan tarikh itu agar pihak-pihak memaklumkan perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.
Pada prosiding itu, Hakim Hadhariah turut menarik perhatian semua pihak bahawa panel bersidang telah bersedia untuk mendengar rayuan hari ini meskipun ia melibatkan nota prosiding yang banyak.
Menurut hakim itu, beliau mengambil masa berhari-hari dengan memberi fokus terhadap rekod rayuan bagi memahami keseluruhan isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.
“Saya baca rekod rayuan dari A hinggga Z, sampai kes lain pun saya tak sentuh. Nota prosiding terlalu banyak, beribu-ribu muka surat dan memang memenatkan.
“Saya tidak mahu cakap banyak sebab pihak pendakwaan pun tiada bantahan (terhadap permohonan penangguhan). Saya beri tarikh akhir, saya mahu semua perkara berkaitan representasi diputuskan,” ujar beliau.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan yang dipohon pasukan pembelaan.
Sebelum itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan rayuan kerana pihaknya telah memfailkan representasi kedua pada 7 Februari lalu manakala representasi pertama yang dikemukakan pada Januari 2023, juga belum dijawab.
Ahmad Zahid, 71, mengemukakan kedua-dua representasi agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbang untuk tidak meneruskan rayuan pendakwaan.
Sementara itu, peguam Hamidi Mohd. Noh turut berkata, pembelaan juga memerlukan masa untuk membalas penghujahan bertulis pihak pendakwaan yang baharu diterima pada Khamis lalu.
“Kami perlu masa untuk menjawabnya secara menyeluruh kerana masa yang ada terlalu singkat selain terdapat isu yang tidak dikemukakan ketika di Mahkamah Tinggi, dibangkitkan dalam penghujahan itu” ujar beliau.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Presiden UMNO itu menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Bagi tujuh lagi pertuduhan pilihan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta (RM4 juta), RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc (RM79,000) dan AS$15,000 (RM70,200) daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017. – UTUSAN










