BATU PAHAT: Empat individu ditahan dipercayai aktif dalam kejadian memecah tabung masjid dan surau di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penahanan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 28 tahun itu dilakukan pada 13 dan 14 Mac lalu di kediaman masing-masing.
Susulan penahanan kesemua suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan yang diubah suai untuk melakukan jenayah itu.
“Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita pada 13 Mac pada pukul 12.05 tengah malam di Surau As Siddiq Kampung Sri Paya Darat, Ayer Hitam.
“Tangkapan kedua juga melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita pada 14 Mac pada pukul 11.30 pagi di hadapan Surau Nur Hidayah Jalan Rotan Batu, Taman Sri Jaya di Batu Pahat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Ismail, semua suspek ditahan reman bermula 14 Mac hingga hari ini bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN










