JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan yang dilaporkan maut di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang semalam sah dikelar pada bahagian leher.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi berkata, mangsa, Muhammad Uwais Mohd. Khairul itu maut di lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan maut akibat dikelar pada bahagian leher. Lokasi kejadian adalah di ruang tamu kediaman keluarga berkenaan,” katanya sambil mengesahkan suspek utama, iaitu ibu kandung mangsa ada rekod kesihatan mental.
Mohd. Sohaimi berkata, pihaknya juga telah mengambil keterangan seorang jiran bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mayat kanak-kanak tersebut telah dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Felda Redong, Segamat selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar memberitahu, pihaknya telah menahan ibu kandung mangsa bagi membantu siasatan selepas menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 1.30 petang semalam. – UTUSAN










