JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan yang maut disyaki dikelar oleh ibu kandungnya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, dekat sini merupakan seorang yang aktif dan ceria.
Ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan memberitahu, kanak-kanak itu merupakan anak tunggal pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada Disember 2021.
Katanya, cucunya itu baharu boleh berjalan dan mula berkata-kata.
“Mangsa baru ‘dapat kaki’, memang tengah aktif, main sana sini bersama-sama sepupunya, khususnya apabila mereka pulang ke kampung halaman di Segamat.
“Kami amat terkejut dengan kejadian itu kerana pasangan suami isteri ini memang normal, hubungan mereka baik-baik sahaja. Mereka sebaya dan sudah berkenalan sejak sekolah lagi,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga tersebut, hari ini.
Walau bagaimanapun, dia memberitahu, bapa mangsa ada memaklumkan perubahan sikap isterinya beberapa hari sebelum kejadian.
“Mereka kerap pulang ke kampung halaman, hampir setiap minggu. Kali terakhir pulang pada awal Ramadan, sempat menyambut puasa bersama.
“Cuma suaminya ada beritahu isterinya menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian, kurang bercakap,” katanya sambil memaklumkan mayat kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Segamat.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar memberitahu, pihaknya telah menahan ibu kandung mangsa bagi membantu siasatan kes itu selepas menerima panggilan pada pukul 1.30 petang semalam.
Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun telah menghantar gambar anaknya yang berlumuran darah pada bahagian leher kepada suaminya melalui aplikasi WhatsApp. – UTUSAN











