Seorang lagi rakyat Indonesia diculik Abu Sayyaf diselamatkan - Utusan Malaysia

Seorang lagi rakyat Indonesia diculik Abu Sayyaf diselamatkan

EMPAT daripada mangsa yang diculik menghadiri sidang akhbar di Zamboanga City, selatan Filipina. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seorang lagi rakyat Indonesia yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di Sabah pada Januari tahun lalu, diselamatkan pihak berkuasa Filipina semalam.

Memetik Bernama, mangsa, remaja lelaki berusia 14 tahun, hanya didedahkan namanya sebagai ‘MK’, diselamatkan di Pulau Kalupag dalam satu operasi pasukan pihak berkuasa Filipina, susulan tiga rakyat Indonesia yang diselamatkan pada Khamis lalu.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan menyatakan, kempat-empat mereka yang berasal dari Wakatobi, Sulawesi Tenggara, dilaporkan sihat dan dalam proses untuk dihantar pulang ke Indonesia.

Petang Khamis lalu, operasi menyelamat dilakukan di perairan Tawi-Tawi, ketika bot yang digunakan kumpulan itu (Abu Sayyaf) yang membawa tiga rakyat Indonesia berkenaan, terbalik akibat dipukul ombak.

Mereka (tebusan) cuba dipindahkan kumpulan itu dari Indanan, Sulu, ke tempat lain selepas terdapat operasi bersepadu pasukan keselamatan Filipina.

Semua mangsa (termasuk yang terbaharu) dibawa ke Zamboanga, Filipina dan akan diterbangkan ke Manila, untuk proses penghantaran pulang ke Indonesia.

Pada 16 Januari tahun lalu, lima nelayan warga Indonesia yang bekerja di bot nelayan Malaysia, diculik kumpulan berkenaan ketika berada di perairan Tambisan, Sabah, Malaysia.

Seorang lagi mangsa culik, La Baa, 32 tahun, ditemukan mati dibunuh pada 28 September 2020, di Patikul, Sulu, Filipina.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×