Polis selamatkan empat wanita India mangsa kegiatan persundalan

Polis selamatkan empat wanita India mangsa kegiatan persundalan

KOMISIONER POLIS M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat wanita warga negara India yang menjadi mangsa kegiatan persundalan diselamatkan polis menerusi serbuan pukul 2.15 petang semalam, di sebuah pangsapuri di Larkin Idaman, di sini.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M. Kumar berkata,  wanita terbabit berusia antara 24 sehingga 39 tahun.

Katanya, operasi itu dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen (JSJK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Empat wanita warga India yang diselamatkan dalam serbuan itu dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks.

“Dalam serbuan yang sama pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dan seorang wanita warga India berusia 36 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan ‘transporter’,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap suspek lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa datang ke Malaysia dengan tawaran kerja dalam sektor teknologi maklumat (IT) dan pembantu rumah.

“Namun apabila tiba di Malaysia, mereka telah dikurung dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran gaji India Rupee (IR) 40,000 iaitu RM2,300 sebulan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh sehingga 22 Mac ini.

Tambahnya, perintah perlindungan sementara bagi semua mangsa dibenarkan selama 21 hari sehingga 5 April ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM); Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kejayaan operasi hasil risikan pihak polis dan maklumat orang awam. Polis Johor sentiasa komited dalam membanteras jenayah rentas sempadan berkaitan penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor 07-2212999,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini