Jangan amal politik dendam selesai isu daerah termiskin di Sabah

Jangan amal politik dendam selesai isu daerah termiskin di Sabah

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jangan mengamalkan politik dendam dengan menangani isu lapan daerah termiskin di Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, dalam menangani isu kemiskinan lapan daerah di Sabah, kerajaan harus bersifat buta politik iaitu tidak diskriminasi kawasan tertentu hanya kerana perbezaan politik.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, usaha-usaha kerajaan terdahulu perlu diteruskan kesinambungannya dan ditambah baik melalui idea-idea baharu dengan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar.

Beliau berkata, keadilan sosio-ekonomi wajib dilaksanakan dengan pembangunan infrastruktur di lapan daerah di Sabah yang mencatatkan insiden kemiskinan tinggi mesti dipercepatkan. Berhentilah menuding jari dan cari langkah penyelesaian segera.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu fokus kepada segala usaha secara bersama. Kepesatan ekonomi Sabah seperti yang sering dilaung oleh kerajaan negeri perlu dimanfaat oleh rakyat yang berada di luar bandar.

“Peranan semua pihak perlu dalam merangka strategi terbaik untuk untuk membolehkan masyarakat serta negara keluar daripada jerat kemiskinan.

“Adalah diakui kawasan Sabah ketinggalan berbanding negeri-negeri lain terutamanya dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infastruktur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seperti diumumkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Parlimen, kadar kemiskinan 1.2 peratus di Sabah enam kali ganda lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan nasional iaitu 0.2 peratus. Perkara itu perlu diterima dan dinilai secara matang.

“Itu sebabnya, ahli-ahli Parlimen dari Sabah sentiasa perjuangkan isu kemiskinan dan jurang pembangunan yang ketara antara semenanjung dan Sabah secara berterusan.

“Namun, perlu dijelaskan bahawa kadar kemiskinan yang diumumkan kerajaan itu sebenarnya sudah jauh menurun.

“Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) merekodkan insiden kemiskinan di Beluran 12.1 peratus, tetapi kini turun kepada lima peratus manakala, Tongod yang merupakan daerah termiskin juga merekodkan penurunan ketara daripada 19.7 peratus kepada 5.9 peratus,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×