SETIU: Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan kerana disyaki mencuri duit tabung di Masjid Che Mohid, Guntung di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, lelaki itu ditahan di ruang solat masjid tersebut ketika berada dalam keadaan mencurigakan
pada pukul 3 petang.
“Melihat suspek, imam dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid bertindak mendekati lelaki terbabit sebelum suspek cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun suspek berjaya ditangkap orang ramai dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan suspek mengalami kecederaan pada muka,” katanya.
Afandi memberitahu, sebelum itu, lelaki tersebut dikesan memasuki ruang masjid dan mengambil duit dari tabung masjid berkenaan kira-kira pukul 5 pagi Khamis lalu.
Katanya, kejadian itu disedari imam masjid tersebut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbit yang mengesan pergerakan berlaku di dalam masjid.
“Suspek yang ditahan semalam adalah orang yang sama dilihat melakukan perkara itu pada Khamis lalu,” katanya.
Beliau menambah, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










