“JANGANLAH dipandang pada gurunya, tetapi lihatlah pada ilmunya. Saya menjadi diri sendiri dalam apa-apa jua yang dilakukan supaya berasa selesa setiap hari.”
Penegasan itu dilontarkan Saliza Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana.
Di sebalik panggilan ‘Cikgu’ itu, ramai dalam kalangan khalayak sangsi dengan kreadibilitinya sebagai seorang ‘Cikgu’.
Manakan tidak, penampilan ranggi dalam perwatakan bersahajanya itu agak luar daripada kebiasaan seorang guru yang pada pandangan umum digambarkan sebagai bersopan santun, tegas dan penyayang lebih-lebih lagi sebagai guru bahasa Melayu (BM).
Begitupun gadis berusia 37 tahun ini menyanggah pandangan yang mengaitkan dirinya sebagai terlalu ranggi sebagai tidak sesuai untuk menjadi guru bahasa Melayu.
“Kenapa kalau cikgu BM banyak syaratnya?. Kalau cikgu-cikgu subjek lain mungkin dah terbiasa kita nampak bergaya. Tetapi cikgu BM kebanyakannya ada stigma tertentu dalam bab penampilan.
“Ranggi dan berpenampilan moden hanyalah penampilan luaran, tetapi ia tidak membataskan kecintaan saya pada bahasa Melayu malah saya amat mengagungkan bahasa itu.
“Saya kira dengan penampilan luar daripada biasa yang saya tampilkan ini, dapat membuang tafsiran anak-anak muda yang beranggapan mendalami bidang bahasa Melayu sedikit ketinggalan,” katanya ketika sesi fotografi bersama Seri di Galeri Sofia, Media Mulia Sdn. Bhd, baru-baru ini.
Beliau tampil anggun mengenakan busana kurung Kedah dan kebarung labuh.
Gayanya bersahaja dalam memberikan pelbagai pose dan aksi di depan kamera.
Ternyata jiwa Melayunya kekal utuh walaupun pernah satu ketika, ramai menyangka dirinya adalah seorang guru sekolah.
Namun, hakikatnya, wanita asal Terengganu ini tidak pernah mengajar di sekolah, sebaliknya bermula dari sebuah pusat tuisyen.
“Pada tahun 2014, seorang rakan meminta bantuan saya untuk menggantikannya sebagai guru tuisyen disebabkan dia ingin bersalin.
“Kebetulan, saya baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana di Universiti Malaya (UM).
“Saya menggantikan rakan saya itu selama beberapa bulan sehingga pengusaha pusat tuisyen itu melihat bakat mengajar saya.
“Perlahan-lahan aura guru itu semakin kuat dalam diri dan saya mula jatuh cinta dengan bidang ini,” kongsinya yang kini dalam
perancangan untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
‘BAHASA CINTA’ PEMINAT
Sekalipun berisiko menerima kecaman dalam media sosial dek penampilannya, anak kelapan daripada 12 beradik ini memilih untuk tidak menghiraukan komen-komen negatif.
“Saya tidak akan layan sebarang kecaman kerana tidak memerlukan hal toksik dalam kehidupan. Saya mahu panjang umur.
“Setakat ini, belum pernah terima mesej pelik. Kalau ada komen-komen dalam media sosial yang mempertikaikan penampilan, saya abaikan sahaja.
“Namun, ada juga yang selalu menitipkan pesanan. Saya menganggap itu ialah ‘bahasa cinta’ pengikut-pengikut saya,” katanya sambil tersenyum manis, menampakkan sebaris giginya yang tersusun cantik.
SUKAR BERGAUL
Saliza pernah berdepan kesukaran bergaul semasa melanjutkan pelajaran di UM, dek kerana imej rangginya itu.
Malah pernah takut dan agak susah hendak mencari kawan walaupun ada 200 pelajar ketika itu.
“Penampilan tak sama seperti pelajar lain. Sudah tentu, ratarata penuh sopan-santun seperti perwatakan seorang guru.
“Kita pula ‘pelik’ dan aneh-aneh. Jadi, saya putuskan untuk buat circle sendiri dan lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan dari Singapura yang menyambung pengajian di UM,” katanya.

PERSONALITI INTROVERT
Di sebalik penyampaian yang menyakinkan dan kerap membetulkan ejaan dan tatabahasa di media sosial, Saliza sebenarnya seorang introvert
(pendiam), pemalu dan tidak banyak bertanya di dalam kelas.
Beliau sebaliknya lebih banyak mulut bila dikelilingi ahli keluarga dan persekitaran yang dirasakan lebih selamat.
“Saya paling rapat dengan arwah ayah. Sejak kecil saya disuruh baca surat khabar dari helaian pertama sampai muka surat terakhir.
“Akhbar kegemaran arwah ayah Utusan Malaysia yang bersaiz broadsheet (besar) ketika itu. Pada umur enam tahun sampai darjah tiga saya kena buat rutin membaca akhbar kuat-kuat.
“Daripada situ, ayah akan tegur kalau saya baca tiada koma. Jadi arwah akan perbetulkan pembacaan dan diksi saya,” katanya mengimbau kenangan.
PLKN UBAH PERSONALITI
Daripada seorang pemalu dan pendiam di khalayak, perwatakan Saliza berubah selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejurus menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kongsinya, pelbagai tugasan, aktiviti dan persembahan dilakukan, yang akhirnya mendorong perubahan besar dalam dirinya.
“Peserta lain tahu saya boleh main gitar dan buat lirik lagu. Jadi, setiap kali buat persembahan saya yang akan tampil kehadapan.
“Itulah pertama kali dalam sejarah hidup perlu berada di atas pentas. Menggigil, anxiety(keresahan) sampai rasa dunia ini hendak terbalik,” katanya yang memilih untuk menyambung pengajian ke tingkatan enam.
JANGAN FIKIR JANTINA
Saliza turut menitip pesanan buat wanita supaya sentiasa cekal dan berdikari.
Katanya, jangan kerana status ‘wanita’ itu melemahkan diri hingga membuka ruang kepada orang lain memperkotak-katikkan diri.
“Satu masalah wanita ini adalah mereka selalu fikir mereka adalah wanita. Jangan fikir kita wanita, tetapi fikir kita ialah manusia.
“Situasi itu yang akan menyebabkan perbezaan terserlah dan memberi peluang orang lain mengkritik kita.
“Lakukan apa sahaja mengikut kemampuan, amanah dan tanggungjawab. Hiraukan tentang perbezaan jantina kerana kita juga adalah manusiaseperti
lelaki,” tegasnya.
KHATAM QURAN
Ramadan sering mengimbau kenangan Saliza mengaji al-Quran bersama arwah bapanya.
Beliau bersyukur kerana ilmu tajwidnya masih melekat di kepala dan dikurniakan kelancaran membaca mukjizat agung itu.
“Dengan arwah ayah, saya pernah khatam al-Quran sebanyak enam kali.
“Asbab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu, setiap kali Ramadan, saya akan pastikan dapat khatam sendiri.
“Memang itu yang saya amalkan dan kekal konsisten setiap kali bulan puasa. Saya sanggup tolak banyak job untuk khatam. Bagi saya, inilah masanya untuk memperbanyakkan amalan,” katanya.
Walaupun hidup membujang dan bersendirian di rumah, Saliza selesa memasak sendiri di rumah. Membesar dalam sebuah keluarga besar, membuatkan dirinya terbiasa memasak dalam kuantiti yang banyak.
“Saya tak biasa masak sedikit dan suka bagi orang lain makan. Setiap hari saya akan beli barang mentah segar dan sedekah pada jiran
dan pengawal keselamatan di rumah,” katanya yang menggemari masakan berasaskan lemak cili api.










