BALING: Kerajaan didakwa tidak menghargai pandangan dan cadangan wakil-wakil penoreh yang mengeluh dengan harga getah murah dan tiada pekerja menyebabkan semakin ramai membiarkan kebun mereka tidak ditoreh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, kerajaan seharusnya menilai cadangan-cadangan diberi wakil-wakil penoreh dan bukannya tidak berbuat apa-apa.
Menurut beliau, antara cadangan tersebut adalah memberi peruntukan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) diserapkan ke dalam Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) agar lebih ramai pekebun getah mendapat bantuan atau tempoh bantuan boleh dilanjutkan
Selain itu, kata beliau, pekebun-pekebun getah mengharapkan penggunaan teknologi baharu untuk menoreh kerana dengan itu akan mendapat hasil lebih banyak
“Kami juga pernah mencadangkan wakil pekebun getah untuk turut sama dalam perbincangan bersama kementerian, LGM, Risda dan pakar industri mengenai isu-isu berkaitan getah,” kata beliau.
KOMODITI
Menurut beliau, jika keadaan membabitkan komoditi ini tidak diatasi masalah kebun tidak diusahakan bukan semakin banyak sebaliknya dikhuatiri akan lebih banyak tidak mengusahakan.
“Selama ini, kerajaan tidak menghargai pandangan dan cadangan daripada wakil-wakil penoreh. Disebabkan itulah isu berkaitan getah ini tiada kesudahan kerana tiada tindakan yang betul-betul dibuat oleh kerajaan untuk mengatasinya,“ katanya.
Semalam, kerajaan mengambil perhatian serius terhadap dakwaan kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh membabitkan anggaran keluasan 420,000 hektar sehingga menjejaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar RM2.3 bilion.
Sementara itu, Mohd. Taufik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu berkata, beliau pernah membangkitkan isu getah ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi perkara itu tidak ke mana kerana ia terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, sektor pertanian di Thailand lebih berkembang maju berbanding negara ini disebabkan kerajaannya yang sentiasa menjaga kepentingan sektor itu yang melibatkan kebanyakan rakyat mereka.
“Tamadun pertanian di Thailand sentiasa proaktif berbanding dengan negara kita, sebab itulah rakyatnya lebih banyak bekerja di sektor pertanian dan perladangan getah serta industri pelancongan berbanding sektor lain,” katanya. – UTUSAN











