DAHULUNYA, fesyen baju Melayu tertumpu pada rekaan klasik dengan pesak dan kekek di samping saiznya yang longgar.
Namun, sejak sedekad lalu, gaya moden seperti slim fit atau muat padan mula mendapat tempat di hati lelaki untuk digayakan pada musim perayaan.
Kelebihan potongan itu membuatkan penampilan seseorang tampak lebih kemas, segak dan bergaya.
Justeru, tidak hairanlah busana ini kian digemari pelbagai peringkat usia bukan sahaja remaja dan dewasa, tetapi turut digayakan warga emas dan kanak-kanak.
Pengasas jenama Elrah Exclusive, Mohd. Hilmi Che Azman berkata, sentuhan gaya moden menjadikan baju Melayu lebih terletak pada badan, mirip pemakaian sut.
Pembaharuan tersebut secara tidak langsung dapat memartabatkan lagi busana tradisi dan menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk memakainya.
“Saya tidaklah keterlaluan dalam mencari kelainan kerana tetap mahu mengekalkan keaslian baju Melayu.
“Saya mengagumi busana ini dan tidak mahu ia sekadar dijadikan pakaian bermusim pada Syawal sahaja.
“Dengan rekaan moden ini, terbukti ia boleh berfungsi seperti sut dan segak digayakan dalam pelbagai acara sama ada makan malam atau perkahwinan,” katanya selepas pelancaran koleksi Aidilfitri baru-baru ini.
Selain potongan muat padan dengan zip di sisi kiri, perincian lain yang diketengahkan ialah butang oktagon, pin rantai logo dan sapu tangan.
Dalam majlis itu, pelakon, Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy turut dilantik sebagai duta jenama berkenaan.
SAIZ GEMPAL BOLEH PAKAI
Siapa kata, baju Melayu muat padan hanya sesuai untuk jejaka berbadan kurus dan sado sahaja.
Jelas Mohd. Hilmi, potongan itu turut boleh digayakan individu bersaiz gempal kerana mereka menyediakan ukuran sehingga XXL.
Penggunaan fabrik berkualiti tinggi iaitu abloh crepe menawarkan keselesaan kepada pemakaian tanpa rasa ketat.
Katanya, baju yang terletak pada badan dapat memberikan efek ilusi langsing sekali gus menjadikan penampilan seseorang lebih segak menawan.
SASAR 2.7 JUTA
Mohd. Hilmi menyasarkan sejumlah 2.7 juta helai baju Melayu keluarannya laris dijual sepanjang musim
perayaan ini.
“Tahun lalu, jualan yang direkodkan mencecah RM170 juta dan untuk 2024, saya mahu jumlahnya berlipat kali ganda.
“Ia boleh direalisasikan kerana sejak sebulan lalu, rekaan ultimate 2.0 yang berharga RM189 sudah laris terjual lebih 65 peratus,” katanya.
Antara rekaan itu ialah reveulto, ultimate 2.0 dan luxe teluk belanga.
Beliau tidak menolak kemungkinan rona jingga gelap merupakan warna tema Aidilfitri.
Memenuhi ramalan itu syarikat turut menyediakan sebanyak 200,000 helai baju Melayu rona berkenaan.
Angka berkenaan tertinggi dalam rekod sekali gus melepasi warna hitam yang dikeluarkan syarikat pada tahun lalu.










