KUALA TERENGGANU: Kenaikan harga bahan kuih raya sehingga mencecah hampir sekali ganda menggusarkan pengusaha dan peniaga pada musim perayaan ini.
Seorang pembekal bahan bakeri, Muhamad Halim Hanafi, 38, berkata, harga bahan membuat kek dan kuih dikesan naik sejak awal tahun ini antaranya telur, tepung penaik dan bekas plastik.
Menurutnya, kepingan coklat yang digunakan bagi pelbagai jenis kuih raya antara yang mengalami kenaikan harga daripada RM28 sehingga RM33 bagi paket 2.5 kilogram (kg).
Selain itu, katanya, harga pes nanas yang merupakan bahan penting bagi kuih tart nenas juga naik mendadak iaitu RM14.90 berbanding RM8 sebelum ini.
“Situasi ini menyebabkan ramai pelanggan yang terdiri daripada pengusaha kuih raya merungut kerana hampir semua bahan naik harga serendah-rendah 50 sen sehingga lebih RM6.
“Lazimnya seminggu sebelum Ramadan kedai saya sudah dipenuhi pelanggan namun kini suram kerana terpaksa mengeluarkan modal lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Peniaga kuih, Siti Rafiah Jasmani, 45, berkata, kenaikan harga bahan membebankan golongan peniaga yang berdepan dilema untuk turut menaikkan harga kuih raya.
Menurutnya, tempahan sempena Aidilfitri sudah diterima sejak sebulan yang lalu namun terpaksa memaklumkan kepada pelanggan kenaikan harga RM1 sehingga RM3 bagi pelbagai jenis kuih.
“Bahan seperti kacang, badam, keju dan mentega naik mengikut gram antara 50 sen sehingga RM1 sehingga modal untuk Aidilfitri tahun ini naik sekali ganda berbanding tahun lalu.
“Tempahan diterima pula boleh dikatakan berkurang jika dibandingkan kebiasaan kerana pelbagai faktor ekonomi sehingga saya rasa tidak balik modal tetapi itulah realitinya,” jelasnya. – UTUSAN











