KOTA BHARU: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan mendedahkan masalah capaian internet dan teknologi menjadi cabaran kepada rakyat negeri ini untuk mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
Pengarahnya, Muhd. Nor Aswadi Md. Nor, berkata, maklumat itu diperoleh hasil turun padang dalam usaha menarik lebih ramai rakyat untuk mendaftar serta mengemaskini PADU.
“Selain itu, sikap tunggu dan lihat serta tidak pandai mengisi borang antara alasan yang diberikan oleh orang ramai.
“Sehingga Isnin lalu seramai 284,977 rakyat Kelantan mendaftar dan mengemaskini PADU,” katanya semasa ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra JaPen Kelantan bersama Kepimpinan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), di sini, malam tadi.
Muhd. Nor Aswadi memberitahu, jumlah tersebut dijangka akan terus meningkat sebelum fasa 1 pendaftaran berakhir pada 31 Mac ini.
Katanya, JaPen dan Jabatan Perangkaan akan terus bekerjasama bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini berbuat demikian.
“Semua orang perlu tahu pendaftaran PADU ini akan membolehkan mereka banyak menerima manfaat dan bantuan daripada kerajaan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, masyarakat Orang Asli di negeri ini memberikan sambutan baik kepada pendaftaran PADU.-UTUSAN










