Polis tidak terima laporan kes tular bom ikan sungai di Gerik - Utusan Malaysia

Polis tidak terima laporan kes tular bom ikan sungai di Gerik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Tiada laporan polis diterima setakat ini membabitkan kegiatan mengebom ikan oleh sekumpulan lelaki di sebuah sungai di Gerik seperti mana yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, buat masa ini, pihaknya hanya mengesan paparan di media sosial berkaitan aktiviti penangkapan ikan yang disyaki menggunakan bahan letupan.

“Setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan kejadian itu. Namun pada 11 Mac lalu sekitar pukul 3 petang, polis bersama sepasukan Renjer Hutan telah menjejaki lokasi kejadian.

“Hasil pemantauan menemukan lokasi yang sama seperti yang ditularkan. Lokasi itu terletak di kawasan pertemuan Kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga di Hutan Simpan Temengor, Hulu Perak,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan dan tindakan selanjutnya berkaitan kes itu akan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perikanan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

“Dalam kes ini, mana-mana kumpulan atau individu yang memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1985).

“Bagi mereka yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram pula menyalahi Akta Perikanan 1992 kerana melakukan apa-apa kesalahan di dalam kawasan hutan simpan yang diwartakan,” katanya.

Sebelum itu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.

Berikutan itu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyiasat aktiviti tular sekumpulan lelaki yang dikatakan menangkap ikan dengan cara yang salah dan mencurigakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN