Tiada negara longgarkan syarat warganegara

Tiada negara longgarkan syarat warganegara

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada negara di dunia yang melonggarkan syarat kewarganegaraan atau memberikan kerakyatan secara auto­matik, sebaliknya setiap permohonan perlu dinilai sama ada layak atau tidak untuk bergelar rakyat sesebuah negara.

Hal ini kerana kewarganegaraan bukanlah hak mutlak, sebaliknya keistimewaan diberikan kepada mana-mana individu termasuk membabitkan kanak-kanak terdampar atau bayi ditemui tanpa diketahui asal usul.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, sebarang langkah melonggarkan kewarganegaraan boleh menghakis nilai dan jati diri warga Malaysia di samping merendahkan martabat seluruh 30 juta rakyat lain yang dilahir dan dibesarkan di negara ini.

Justeru, katanya, usaha me­nge­tatkan permohonan kewarganegaraan bukan sahaja mampu meningkatkan maruah warganegara, malah ia akan dipandang tinggi kerana mempunyai jati diri sebagai warga Malaysia.

“Mana ada negara mudah memberikan kerakyatan secara automatik, kalau negara lain kena mohon dan menjalani temu duga barulah dibenarkan kewarganegaraan. Ini kerana kewarganegaraan bukanlah hak mutlak tetapi keistimewaan diberikan, ia boleh dilucutkan jika melakukan jenayah.

“Sebarang usaha pindaan untuk menambah baik permohonan kerakyatan perlu disokong termasuklah setiap permohonan kena melalui pro­ses undang-undang untuk memboleh­kan seseorang itu dinilai sama ada layak atau sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap permohonan mendapat kewarganegaraan perlu melalui proses undang-undang.

Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia itu berpandangan, kerajaan perlu mengetatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai syarat utama permohonan kewarganegaraan dan menyifatkan kaedah sedia ada terlalu longgar.

Katanya, seseorang individu tidak layak bergelar rakyat Malaysia jika gagal menguasai bahasa Melayu.

“Jadi kemahiran bahasa Melayu perlu diperkukuh dengan setiap pemohon kena menjalani kelas pengukuhan antara 100 hingga 200 jam dan kemudian barulah diluluskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×