RUU lindungi negara dari tuntutan pihak asing dibentang 18 Mac

RUU lindungi negara dari tuntutan pihak asing dibentang 18 Mac

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bagi memastikan kepentingan negara dan rakyatnya terpelihara daripada sebarang tuntutan tidak berasas selain mengancam kedaulatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan pembiayaan litigasi pihak ketiga yang tidak beretika berpotensi memberi ancaman serius terhadap kedaulatan negara.

Oleh itu, menurut beliau, RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mac ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“RUU yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa (customary international law).

“Meskipun peranan mereka membantu pihak yang tidak mampu mendapatkan keadilan tidak boleh dinafikan, ketidakwujudan suatu kerangka kawalan menyebabkan mereka mengeks­ploitasi tuntutan perundangan yang remeh ataupun palsu.

“Pihak yang menyalahgunakan sistem perundangan menyasarkan negara berdaulat, demi kepentingan dan keuntungan sesuatu perkara,” katanya.

Terdahulu, United Tausug Citizens (UTC) dilaporkan menghantar tuntutan RM70.2 bilion ke atas pemilikan yang didakwa sebagai ‘Cession Money’ atau Wang Penyerahan Wilayah.

Selain itu, UTC dalam tuntutan itu juga mahu Malaysia mengiktiraf pertubuhan itu sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’.

Mengulas lanjut, Azalina menegaskan ada RUU khusus di negara ini boleh memberi kesan tindakan-tindakan pihak tidak beretika itu menggugat keselamatan sesebuah negara.

“Tindakan ini bukan sahaja menggugat integriti sistem perundangan, tetapi juga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan.

“Dalam hal ini, kawal selia yang ketat adalah wajar diwujudkan dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya sentiasa dipelihara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata Kerajaan Persekutuan perlu bertindak tegas dalam melakukan tindak balas undang-undang terhadap sebarang tuntutan yang dibuat ke atas Sabah.

Beliau berkata, tuntutan yang dibuat UTC merupakan satu lagi ancaman dan ugutan kepada negara.

“Kerajaan harus bertindak bertindak tegas terhadap sebarang tuntutan yang dibuat dimana-mana mahkamah termasuklah di Amerika Syarikat. Kerajaan harus tegas melakukan tindak balas undang-undang.

“Jika dilihat Sabah adalah sebuah wilayah dalam negara yang berdaulat maka, kerajaan harus kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf apa juga tuntutan tidak berasas yang dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, pasukan undang-undang negara harus bertindak lebih bijak untuk menyanggah sebarang elemen yang mengancam kedaulatan negara.

Katanya, kerajaan perlu mempertahankan Sabah dari segi undang-undang dan bukti yang ada kerana beliau percaya pasukan undang-undang mempunyai butiran yang cukup kuat untuk menolak sebarang tuntutan yang dibuat ke atas Sabah.

Kerajaan harus pertahankan apa juga tindakan mana-mana pihak dimana-mana mahkamah untuk mematahkan sebarang cubaan yang mengancam kedaulatan negara khususnya negeri Sabah.

Menurut Ronald, sama ada kumpulan yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ itu mempunyai asas atau tidak dalam membuat tuntutan, perkara itu harus dijelaskan dari sudut perundangan yang ada.

Jelas beliau, rakyat Malaysia yang berada di Sabah akan sentiasa menyokong setiap usaha kerajaan ke arah menoktahkan tuntutan tidak berasas sebegini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini