KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 10,175 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM20,350 ke negara jiran selepas menahan sebuah lori berhampiran Jambatan Kampung Kubang Panjang, Tumpat semalam.
Dalam serbuan pukul 4 pagi itu, anggota JKDM turut menahan pemandu dan kelindan lori tersebut berusia 30-an untuk membantu siasatan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan hasil maklumat risikan dan intipan JKDM Kelantan.
“Siasatan mendapati kesemua minyak masak ini datang dari Ipoh, Perak,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, hasil soal siasat yang dijalankan suspek mengaku hanya mengambil upah untuk membawa barangan tersebut dengan bayaran RM300.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Azman tidak menolak status halal pada minyak masak peket bersubsidi keluaran Malaysia menjadi punca bahan mentah itu diseludup dan mendapat permintaan tinggi di wilayah Narathiwat.
Menurutnya, walaupun dijual sehingga RM5.70 sekilogram namun penduduk yang majoritinya beragama Islam tetap menjadikan barangan bersubsidi Malaysia itu sebagai pilihan.
“Selain halal, minyak seludup ini masih lagi murah jika dibandingkan dengan keluaran negara berkenaan iaitu RM8 untuk satu liter.
“Disebabkan itu, penyeludup mengambil kesempatan membawa keluar barangan bersubsidi ke negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini,” katanya.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa di sempadan dalam usaha membanteras penyeludupan barangan bersubsidi.
Katanya, aktiviti itu dijangka akan terus rancak memadangkan permintaan tinggi sepanjang Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Bentuk muka bumi yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok menyebabkan ketirisan ini senang berlaku.
“Bagaimanapun, kawalan ketat sentiasa dilakukan terutama di kawasan sempadan seperti Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tanah Merah,” ujarnya. – UTUSAN








