Terus berdaya tahan - Utusan Malaysia

Terus berdaya tahan

INDUSTRI OGSE mencatatkan hasil tertinggi pada 2023. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Setelah menghadapi tempoh sukar dalam dua tahun sebelum ini kerana kejatuhan harga minyak berikutan peningkatan pengeluaran minyak syal di Amerika Syarikat (AS) selain impak penularan wabak pandemik Covid-19, industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) dijangka pulih tahun ini.

Pemulihan ini dipacu beberapa faktor terutamanya program vaksinasi di peringkat global dan pembukaan sempadan negara kelak.

Walau bagaimanapun, pemain industri perlu tangkas menyesuaikan diri dalam situasi mencabar ini sekali gus memastikan mereka kekal relevan dalam tempoh yang panjang.

Malaysian Petroleum Resources Corporation (MPRC) tampil dengan Top 100 OGSE (OGSE100) yang memaparkan 100 syarikat OGSE terbaik negara menerusi pendapatan dan beberapa kajian dari sudut kesinambungan pemain industri tersebut.

Ikuti wawancara dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, MOHD. YAZID JA’AFAR oleh wartawan NURFARAHIN HUSSIN dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN di pejabatnya baru-baru ini.

 

MOHD. YAZID JA’AFAR

UTUSAN: Boleh terangkan apakah peranan MPRC?
MOHD. YAZID: MPRC adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri yang dibentuk pada 2011. Agensi ini bertanggungjawab memajukan industri OGSE tempatan menerusi penyelidikan dan cadangan yang akan disalurkan kepada kerajaan untuk mempromosikan kemampuan globalisasi OGSE tempatan di sektor hulu, tengah dan hilir.

MPRC menyediakan perkhidmatan fasilitasi perdagangan dan pelaburan untuk menarik pemain antarabangsa membangunkan pangkalan wilayah mereka di negara ini untuk memperkuat daya tarik Malaysia sebagai pusat serantau.

Ini termasuk memanfaatkan perkongsian sesama agensi kerajaan dan rakan antarabangsa untuk mempromosikan keupayaan OGSE Malaysia di pe­ringkat global.
Untuk mendorong daya saing dan memupuk daya tahan jangka panjang di kalangan pemain OGSE Malaysia, MPRC melaksanakan inisiatif pembangunan industri yang meliputi teknologi dan inovasi, pembangunan modal insan, akses pasaran dan pengantarabangsaan serta akses kepada kemudahan pembiayaan.

Bagaimana prestasi OGSE100 sejak beberapa tahun kebelakangan ini?
Kami mengesan pertumbuhan dan prestasi industri menerusi OGSE100 sejak 2013. Kajian ini membabitkan 1,563 syarikat yang diberikan lesen di bawah Petronas untuk menjalankan perniagaan sektor OGSE.

Berdasarkan kajian tahun berakhir 2019, OGSE100 tempatan dikuasai beberapa syarikat besar antaranya MISC Berhad di tangga teratas, diikuti Sapura Energy Berhad dan Serba Dinamik Holdings Berhad.

OGSE100 dilihat menghadapi tempoh sukar beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi tahun 2019, sektor OGSE mencatat pendapatan sebanyak RM65.1 bilion berbanding RM67.4 bilion tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, OGSE100 susut 5.2 peratus kepada RM52.4 bilion daripada RM55.2 bilion pada 2018.

Bagaimanapun, industri mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.1 bilion pada 2019 berbanding kerugian RM1.4 bilion yang ditanggung pada tahun sebelumnya. Untuk 2019, OGSE100 menguasai lebih 50 peratus keuntungan pada RM574.7 juta berbanding kerugian RM1.9 bilion pada 2018.

Ini adalah impak kejatuhan harga minyak global dan bagi 2020. Hasil syarikat OGSE tempatan juga dijangka lebih rendah berikutan industri minyak dan gas menerima kesan negatif akibat penularan wabak Co­vid-19.

Bagaimana pula dengan pres­tasi syarikat-syarikat yang bukan dalam senarai OGSE100?
Pada 2019, kita dapat lihat syarikat tahap pertengahan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menunjukkan peningkatan dalam pendapatan masing-masing sebanyak 4.1 peratus (RM6.3 bilion berban­ding RM6 bilion) dan 4.8 peratus (RM6.5 bilion berbanding RM6.2 bilion).

Syarikat tahap pertengahan memperoleh keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM280.6 juta (berbanding RM353.7 juta pada tahun 2018) namun PKS mencatat peningkatan keuntungan sebanyak 156.8 peratus kepada RM206.4 juta (daripada RM80.4 juta pada tahun 2018).

Ini menunjukkan syarikat besar berdepan tempoh sukar namun prestasi syarikat tahap pertengahan dan PKS bertambah baik. Namun untuk lebih berdaya saing, syarikat PKS perlu memajukan diri mereka dan lebihkan operasi digital mengikut arus semasa.

Apakah jangkaan prestasi industri untuk tahun ini?
Bagi tahun ini, industri OGSE dijangka pulih dengan adanya program vaksinasi di peringkat global dan juga pembukaan sempadan negara kelak. Ini semua dapat merancakkan kembali ekonomi negara dan tidak terkecuali sektor OGSE. Kami amat berharap industri ini akan meningkat ke tahap sebelum kedatangan wabak Covid-19.

Selain itu, pemain industri perlu tangkas, bersedia berubah mengikut kesesuaian pasaran dan bertahan dengan sifat industri. Sebab utamanya, industri ini tetap memainkan pe­ranan besar dalam kemampanan ekonomi negara. Jika tiada sokongan padu daripada syarikat OGSE, industri minyak dan gas tidak boleh dijalankan.

Apakah cabaran utama industri pada masa kini?
Sekarang, industri berdepan peralihan kepada tenaga boleh dibaharui yang semakin berkembang berikutan sasaran pelepasan karbon sifar menje­lang 2050.
Oleh itu, industri perlu fleksibel dan terus berdaya saing dalam meneruskan penglibatan mereka dalam industri mi­nyak dan gas negara walaupun berdepan era peralihan.

Dengan penggunaan solar yang semakin meningkat, industri minyak dan gas dikatakan tidak dapat bertahan lama. Bagaimanapun, peralihan tersebut mungkin mengambil masa 20 ke 30 tahun lagi kerana ia bergantung kepada beberapa perkara seperti persekitaran, komersial dan sosial. Ia tidak akan terjadi dalam waktu yang singkat.

Dunia mungkin beralih kepada tenaga bebas karbon tetapi tiada siapa yang mempersiapkan industri ke arah itu, jadi rangka tindakan ini amat penting bagi memastikan sektor OGSE mampu menongkah arus perubahan.

Sebagai entiti yang memainkan peranan dalam membekalkan data dan maklumat untuk merancang industri mi­nyak dan gas, MPRC telah melengkapkan rangka tindakan dan kini menunggu kelulusan kabinet sebelum ke proses seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×