Persatuan sukan sambut baik cadangan MOM

Jadi tuan rumah Sukan Komanwel beri impak positif ke sukan negara

Gambar fail menunjukkan kontinjen atlet negara melepasi pentas utama ketika menyertai perbarisan perasmian Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyambut baik cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmad berkata, sebagai persatuan sukan beliau amat mengalu-alukan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah temasya itu kerana ia memberi impak positif terutamanya kepada atlet yang bertanding.

“Kali terakhir kita menganjurkan Sukan Komanwel pada 1998 dan jika kita menganjurkannya sekali lagi saya lihat itu sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia sebagai destinasi sukan.

“Angkat berat antara penyumbang tetap pingat dalam temasya tersebut dan jika menganjurkannya sudah pasti kami berusaha keras untuk menghadiahkan pingat emas kepada negara.

“Bagi saya, tiada masalah untuk kita menganjurkannya dan kami bersedia memberi sokongan penuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kontinjen angkat berat negara menyumbang dua emas dan satu perak pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham. Kedua-dua emas tersebut hadir menerusi Mohamad Aniq Kasdan bagi kategori 55 kilogram (kg) dan Muhamad Aznil Bidin (61kg) manakala perak dimenangi oleh Muhammad Erry Hidayat (73kg).

Turut senada dengan Ayub adalah Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low yang melihat penganjuran temasya tersebut memberi kelebihan kepada tuan rumah.

“Saya tiada masalah kalau kerajaan bersetuju untuk mengadakannya. Apabila kita menjadi tuan rumah ia dapat meningkatkan semangat atlet dan peluang mendapatkan keputusan yang lebih bagus tinggi,” katanya.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia peluang menggantikan Victoria, Australia sebagai penganjur.

Tawaran itu termasuk pelaburan sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) untuk menyokong penyampaian di peringkat tempatan dan perancangan pewarisan bagi acara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×