JAKARTA: Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengenang kembali perbualannya bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II baru-baru ini.
Menurut Prabowo, dalam perbualan menerusi telefon itu, Raja Abdullah II menzahirkan ucapan tahniah kepadanya atas kemenangan memperoleh peratusan undi terbanyak dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Lapor Detik News, Prabowo memuat naik video rakaman perbualan itu di akaun Instagram rasmi, kelmarin.
Dalam video tersebut, Prabowo memaklumkan amat berbesar hati dengan ucapan tahniah yang dizahirkan oleh Raja Jordan.
“Saya amat berbesar hati menerima ucapan tahniah daripada rakan saya, Raja Abdullah II atas keputusan pilihan raya awal.
“Kami komited untuk terus mengukuhkan lagi persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
“Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada Raja Abdullah II, keluarganya dan rakyat Jordan,” jelas Prabowo dalam kenyataan dimuat naik di hantaran itu.
Menerusi video itu, Raja Abdullah II berkata, Indonesia memerlukan Prabowo sebagai pemimpin baharu dalam mendepani masa depan negara.
“Saya tahu Indonesia memerlukan anda, sudah lama saya mengenali anda dan saya berasa amat berbangga dengan anda,” kata Raja Abdullah II.










