KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang wanita tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan mengedar dadah Methamphetamine seberat 471.1 gram, dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid membebaskan peniaga dalam talian, Lealonii Mohd. Shamsudin, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Hakim Azhar.
Lealonii didakwa mengedar dadah Methamphetamine seberat 471.1 gram di sebuah kondominium di Jalan Wangsa Perdana 1, Wangsa Maju di sini pada 9.25 malam, 7 April 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd. Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
Seramai lapan saksi pendakwaan selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula Isnin lalu.
Keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan menyatakan, wanita itu tidak ditangkap di tempat kejadian sebaliknya ditangkap dalam kereta di parkir Melawati Mall, iaitu kira-kira empat kilometer dari kondominium berkenaan.
Fakta turut menunjukkan wanita tersebut bukan penyewa unit kondominium itu manakala keterangan saksi-saksi pendakwaan menyatakan terdapat dua set kunci dan dua kad akses untuk rumah berkenaan. –UTUSAN







