Dua sindiket edar methamphetamine RM19.58 juta digempur polis

Dua sindiket edar methamphetamine RM19.58 juta digempur polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah melalui operasi berasingan di Lembah Klang dan merampas pelbagai jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM19.58 juta, kelmarin. 

Dua operasi berasingan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut menahan empat suspek berusia 22 hingga 32 tahun yang berperanan sebagai penjaga stor.  

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, melalui operasi tersebut, pihaknya mengesan modus operandi terbaharu sindiket dengan menyembunyikan dadah jenis methamphetamine dalam tong bahan kek iaitu pengemulsi atau emulsifier.

Katanya, sindiket dipercayai aktif sejak awal tahun ini kemudian mengedapkan semula tong bahan pembuat kek tersebut bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasan. 

“Modus operandi itu dikesan dalam operasi pada 7 Oktober lalu kira-kira pukul 10.30 malam di rumah di Manjalara, Kepong dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran dalam dan luar negara. 

“Kita menemukan 250 bungkusan teh berisi methamphetamine seberat 255.57 kilogram (kg) dan menahan tiga warga Thailand berusia 22 hingga 24 tahun termasuk seorang lelaki berperanan sebagai penjaga stor,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. 

Menurutnya, siasatan mendapati sepaket teh Cina mengandungi satu kg methamphetamine dianggarkan bernilai RM33,000.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau selain pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Kok Chin, operasi kedua dijalankan pada pukul 8 malam di Taman Perindustrian KIP, Kepong di sini dengan menahan seorang penjaga stor dan transporter berusia 32 tahun. 

Jelasnya, ketika serbuan, lelaki tersebut dipercayai sedang memunggah guni-guni daripada bahagian bonet belakang kereta jenis Perodua Atvia masuk ke dalam premis. 

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut turut menemukan 350 paket bertulis “Apple Merah’ berisi 357.603 kg methamphetamine dianggarkan bernilai RM11.4 juta.

“Siasatan mendapati rumah digunakan menyimpan dadah disewa sejak empat hari lalu sebelum diedarkan untuk pasaran dalam negara terutamanya di Lembah Klang,” katanya.

Tambahnya, setiap paket tersebut berisi satu kilogram methamphetamine dianggarkan bernilai RM32,000.

“Jumlah dadah dirampas dianggarkan untuk kegunaan 1.78 juta orang penagih. 

“Kesemua suspek dalam kedua-dua kes direman selama tujuh hari  bermula 8 hingga 14 Oktober di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya