Tiada pengeluaran nadir bumi oksida secara haram di Hutan Simpan Lipis - Utusan Malaysia

Tiada pengeluaran nadir bumi oksida secara haram di Hutan Simpan Lipis

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menafikan berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di Lipis seperti dinyatakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan itu kurang tepat kerana tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut.

“Ini kerana, hasil maklumat dan intipan yang dilakukan oleh Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023 telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemukan.

“Susulan penemuan ini, Jabatan Mineral dan Geosains (GMG) Pahang menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu pada 23 Mac 2023 dan mendapati, penemuan alatan dan barangan makmal yang digunakan menunjukkan kawasan itu untuk melombong nadir bumi.

“Bagaimanapun, tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan dirampas pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Nik Nazmi dilaporkan sebagai berkata, kira-kira 16,000 tan nadir bumi oksida dilombong secara haram dan dieksport ke China.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu dilaporkan berkata, operasi haram itu terletak di hutan simpan di Sik di Kedah, Lipis di Pahang dan Pengkalan Hulu serta Kuala Kangsar di Perak.

Dua lagi lombong haram kata Nik Nazmi terletak di tanah persendirian di daerah Meranti dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, lanjutan daripada kes ini, UPNP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguatkuasa Perhutanan Zon Pahang Barat melakukan pemantauan berkala bermula 3 Mei 2023 hingga 15 Februari lalu di kawasan Pahang Barat dan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku.

“Oleh yang demikian, saya berharap fakta ini dapat diperbetulkan kerana kenyataan yang dinyatakan semalam telah menjejaskan nama baik negeri Pahang, lebih-lebih lagi kerajaan negeri sejak lima tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram termasuk aktiviti perlombongan daripada berleluasa.

“Untuk makluman, sejak penubuhan UPNP pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah kerajaan negeri berjaya diselesaikan dengan 129 kes sudah dikompaun dan lapan kes lagi sudah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan. dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×