KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima maklumat mengenai dakwaan penglibatan rakyat Malaysia menjadi tentera upahan Russia untuk berperang di wilayah Donetsk dekat timur Ukraine.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat Malaysia diingat supaya berhati-hati dalam menerima maklumat dan menyemak fakta sebenar.
“Kementerian ini ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dalam menerima maklumat dan sentiasa menyemak fakta sebenar terhadap informasi yang disebarkan terutamanya dalam media sosial,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang mahu kementerian memberi penjelasan berhubung dakwaan rakyat Malaysia yang dikatakan berkhidmat sebagai tentera upahan Russia di Donetsk.
Ini susulan laporan Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine yang diterima Wisma Putra.
Media sebelum ini melaporkan, satu laporan tentera Ukraine mendakwa terdapat rakyat Malaysia antara tentera upahan yang berperang bersama tentera negara itu di wilayah Donetsk dekat timur Ukraine.
Dakwa notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, Russia terus merekrut tentera upahan dari beberapa negara di seluruh dunia untuk meneruskan dasar keganasan mereka.
Menurut notis berkenaan, tentera upahan dari Malaysia ditemani penerjemah termasuk bekas anggota kumpulan Wagner dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Russia.- UTUSAN










