Waktu bekerja penjawat awam Pulau Pinang diputus esok

Waktu bekerja penjawat awam Pulau Pinang diputus esok

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Lebuh Queen, George Town, Pulau Pinang. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebarang perubahan atau kelonggaran waktu kerja untuk penjawat awam di negeri ini sepanjang bulan Ramadan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, esok. 

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Lebuh Queen di sini, petang tadi.

“Kita akan bincang perkara itu dalam mesyuarat Exco esok,” kata Kon Yeow ketika ditanya mengenai kewajaran Pulau Pinang untuk mengikut langkah yang diambil oleh negeri lain termasuk Pahang yang sebelum ini menetapkan waktu bekerja untuk penjawat awam di negeri itu khususnya pada hari Jumaat ialah sehingga pukul 12.30 tengah hari sahaja sepanjang Ramadan.

Terdahulu, ketika merasmikan bazar Ramadan anjuran Liga Muslim Pulau Pinang itu, Kon Yeow berharap agar ia mampu menjadi salah satu tarikan yang seterusnya dapat mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya, kawasan itu terkenal dengan kebanjiran pelancong untuk menikmati kekayaan budaya yang tidak terhad kepada seni bina bangunan serta tradisi, malah, kepelbagaian makanan yang dinikmati oleh masyarakat Pulau Pinang.

“Ini merupakan tahun penganjurannya yang ke-20 dan saya dimaklumkan bahawa bazar ini dapat diadakan dengan mengumpulkan peniaga-peniaga makanan serta para pengusaha restoran yang ikonik dengan budaya dan tarikan gastronomi di Pulau Pinang ini,” katanya.

Tambah beliau, bazar tersebut beroperasi sepanjang Ramadan ini bermula 2 petang dengan 25 buah gerai yang menawarkan pelbagai makanan serta juadah menarik.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 27 permohonan penganjuran bazar Ramadan diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada tahun ini.

Pada masa yang sama katanya, Majlis Bandaraya Seberang Perai pula meluluskan sebanyak 45 permohonan untuk menganjurkan bazar Ramadan selain lapan permohonan lagi untuk mengadakan bazar Aidilfitri pada tahun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×