PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baru-baru ini menganjurkan siri keempat program Jelajah Saya Digital (JSD) bagi tahun ini di Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
JSD @ Pulau Pinang diadakan dengan membawa aktiviti seperti bengkel pengisian literasi digital dan keusahawanan serta pertandingan e-sports, kaunter fizikal pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan pameran dari agensi-agensi kerajaan yang mengetengahkan aspek pendigitalan.
Program itu ke Pulau Pinang bagi mewujudkan kesedaran rakyat tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar dengan memberi peluang samarata kepada rakyat di kawasan bandar tanpa meninggalkan penduduk luar bandar.
Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan hadir sama Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong serta Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh. – UTUSAN










