Manfaat Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan

Pelabur Jerman dialu manfaat Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan

MALAYSIA bersetuju menyertai Climate Club (Kelab Iklim) iaitu sebuah forum antarabangsa untuk pertukaran mengenai pemerkasaan tindakan iklim dan dekarbonisasi industri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelabur dan perniagaan Jerman untuk memanfaatkan lokasi di negara ini yang strategik di Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berharap kerjasama dengan Jerman yang lebih luas bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang.

Beliau memberikan contoh Infineon Technologies AG dan banyak syarikat terkemuka lain di Jerman yang memilih Malaysia sebagai hab penting, pusat kecemerlangan dan pusat latihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam Kesatuan Eropah (EU), sudah tentu, Jerman adalah rakan dagang terbesar kami dan anda telah melabur jumlah yang cukup besar iaitu hampir AS$15 bilion (RM70.24 bilion),” katanya dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Jerman, Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin, semalam.

Anwar yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman mengadakan mesyuarat dua hala dengan Scholz yang merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota EU sejak tahun 2000 manakala Malaysia adalah rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota Asean.

Terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia yang mewujudkan sejumlah 65,000 pekerjaan.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. 

Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu juga membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian serta bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin selain isu global mempunyai kepentingan bersama.

“Menerusi pertemuan ini Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menyambut baik minat Berlin daripada segi pelaburan baharu dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau.

“TBB telah menjadi tumpuan kami pada masa ini dan kami bertuah kerana mempunyai kekuatan dalam tenaga solar, tenaga hijau dan kukuh dari segi kapasiti kami untuk mengeksport TBB,” katanya.

Selain hubungan dua hala, Anwar dan Scholz juga membincang isu Palestin apabika Malaysia dan Jerman senada dalam soal gesaan gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza di samping pembebasan tawanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Menurut Anwar, kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa perlu ada titik noktah terhadap konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad.

Sementara itu, Anwar menerusi Facebooknya berkongsikan detik berbuka puasa dengan buah kurma bersama Canselor Jerman itu sebelum kembali menyambung perbincangan terkait kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini