ALOR GAJAH: Tiada ungkapan mampu diluahkan penduduk Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini melainkan ucapan terima kasih, selepas menerima kunjungan mengejut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hari ini.
Bukan kerana sumbangan kit makanan atau wang tunai, apa yang lebih mengujakan mereka apabila Ab. Rauf sendiri datang menziarahi sambil bertanya khabar.
Warga emas, Nyacik Salleh, 86, atau lebih dikenali sebagai Tok Mamat berkata, dia secara peribadi mengenali Ab. Rauf sejak zaman remaja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu lagi.
“Saya kenal dia (Ab. Rauf) sejak zaman remajanya kerana baik dengan ibunya. Selain bapa Ab. Rauf dan suami saya kawan baik.
“Sewaktu suami jatuh dari pokok hingga meninggal dunia, Ab. Rauf ketika itu ada di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita ketika Ziarah Kasih Ketua Menteri Sempena Ramadan.
Dalam program itu, Nyacik menerima sumbangan wang tunai serta kit makanan mengandungi beras, minyak masak, gula dan lain-lain.
Seorang lagi penerima ialah Thalib Adam, 71, yang tidak mampu bercakap kerana menghidap gangguan daya ingatan (demensia) sehingga mengakibatkannya tidak dapat berfikir dan mengenali sesiapa.
Dalam pada itu, Rauf Habibon, 64, atau lebih mesra dipanggil Cikgu Daud berkata, dia sebelum ini mengalami kemalangan sehingga terpaksa menggunakan kerangka besi pada tangan kiri.
Ujarnya, isterinya pula menghidap buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan dialisis.
“Hari ini Ab. Rauf menziarahi saya dan isteri yang uzur. Alhamdulillah atas kunjungan ini dan terima kasih atas sumbangan kit makanan dan wang tunai,” ujarnya. – UTUSAN










