SHAH ALAM: Seorang bekas Pembantu Am Gred 11 didenda RM30,000 dan penjara lima hari akibat mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran kerja baik pulih rumah yang dilakukannya, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hafizul Akmal Hasbullah, 33, mengaku bersalah atas lima pertuduhan dihadapan Hakim Datuk Anita Harun di Mahkamah Sesyen hari ini, termasuk menukar pengakuan terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya pada 22 Februari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu didakwa menggunakan empat invois palsu yang ditandatanganinya sendiri serta satu dokumen laporan bergambar palsu untuk diserahkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).
Kesemua dokumen tersebut mempunyai kaitan dengan kerja-kerja pembaikan rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang dilakukan dekat Sekinchan dan Sungai Besar antara Jun hingga Julai 2021.
Justeru, Muhammad Hafizul dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum dibawah Seksyen 465 kanun sama.
Susulan itu, peguam yang mewakilinya, Muhammad Affendy Mohd. Yusop memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum terhadapnya dengan alasan anak guamnya kini tidak lagi bekerja dan perlu menyara isteri dan tiga orang anaknya yang masih kecil.
Malah, beliau memaklumkan tertuduh kini menghidap sakit belakang dan masalah itu disahkan oleh pakar perubatan yang merawatnya.
Bagaimanapun, pengendali prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon hukuman setimpal diberikan ke atasnya sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 dan penjara sehari terhadap bekas kerani Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bagi setiap perduduhan atau penjaran enam bulan jika gagal membayar denda.
Terdahulu, di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, Muhammad Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM29,430 pada Jun dan Julai 2021.
Dia didakwa cuba mengelirukan MDSB dengan mengemukakan butir matan palsu dalam invois mengenai kerja-kerja baik pulih rumah daif di bawah program sama.
Tuntutan tersebut, masing-masing berjumlah RM14,500 dan RM14,930 dibuat dekat Pejabat MDSB di Sungai Besar pada Jun hingga Julai 2021, bagaimanapun kerja-kerja tersebut didakwa bernilai RM4,140 dan RM4,060, namun tidak dilaksanakan. – UTUSAN










