Bekas kerani JPS dituduh kemuka tuntutan palsu RM29,430 - Utusan Malaysia

Bekas kerani JPS dituduh kemuka tuntutan palsu RM29,430

Tuntutan palsu
MUHAMMAD Hafzul Akmal Hasbullah diiringi pegawai SPRM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhannya di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas kerani Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor di Sabak Bernam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM29,430 pada Jun dan Julai 2021.

Tertuduh, Muhammad Hafizul Akmal Hasbullah, membuat pengakuan sedemikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, hari ini.

Dalam prosiding tersebut, bapa tiga orang anak itu didakwa cuba mengelirukan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dengan mengemukakan butir matan palsu dalam invois mengenai kerja-kerja baik pulih rumah daif di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Tuntutan tersebut, masing-masing berjumlah RM14,500 dan RM14,930 dibuat dekat Pejabat MDSB di Sungai Besar pada Jun hingga 1 Julai 2021, bagaimanapun kerja-kerja tersebut didakwa bernilai RM4,140 dan RM4,060, namun tidak dilaksanakan. 

Justeru, Muhammad Hafizul Akmal, 33 dituduh di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun.

Tertuduh juga berdepan hukuman denda lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian mencadangkan kepada mahkamah ikat jamin terhadap tertuduh sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport serta lapor diri di Pejabat SPRM berdekatan.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Affendy Mohd. Yusop yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 selepas anak guamnya tidak lagi bekerja.

“Anak guam saya dinasihatkan berhenti kerja oleh majikannya berhubung pertuduhan yang dihadapinya (mahkamah tidak diberitahu tarikh berhenti kerja). Gaji terakhir diterima adalah sebanyak RM1,200.

“Selain itu, anak guam saya juga sudah berkahwin dan menanggung tiga anak berusia tiga hingga tujuh tahun. Tertuduh juga tiada masalah untuk mematuhi syarat tambahan yang dikenakan,” katanya.

Awang Kerisnada kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dan mengarahkan Muhammad Hafizul Akmal menyerahkan pasport dan melapor diri di Pejabat SPRM Selangor, di sini, pada minggu pertama setiap bulan.

“Mahkamah bersetuju untuk membenarkan kamu dibebaskan dengan jaminan RM6,000 daripada seorang penjamin warga tempatan. Kamu juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi sepanjang perbicaraan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac 2024 pukul 9 pagi,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN