Pembaziran meningkat 20% di bulan Ramadan

Pembaziran meningkat 20% di bulan Ramadan

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Peng­guna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai agar tidak membazir makanan memandangkan 90,000 tan makanan telah dibuang ke dalam tong sampah sepanjang Ramadan tahun lalu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kajian menunjukkan pembaziran makanan ketika ini meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding bulan-bulan lain.

“Pada 2023, sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan. Bulan ini sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam, namun bagi sesetengah orang, ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan,” katanya di sini.

Menurutnya, Islam menggalakkan umatnya mengelak daripada bersikap rakus, membazir dan boros.

“Berlawanan dengan ajaran ini, sesetengah orang makan dan minum dengan begitu banyak ketika berbuka puasa sehingga menjadi malas dan mengabaikan kewajipan untuk menunaikan solat.

“Kerakusan atau bersikap lahap juga boleh memberikan kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, salah satu tujuan berpuasa ialah untuk memahami erti kelaparan seperti yang dialami oleh orang miskin dan terpinggir agar umat Islam mempunyai sikap empati terhadap golongan ini.

“Kini lebih dua juta rakyat Palestin sedang menghadapi kebuluran. Jadi, kita tidak sepatutnya membuang begitu banyak makanan pada bulan suci ini.

“Golongan kaya juga seharusnya berkongsi kekayaan dengan mereka yang miskin dan memerlukan bantuan dan bukannya bersikap rakus serta bermegah-megah dalam cara hidup.

“Jadi, gunakan kekayaan anda bagi membantu golongan miskin dan terpinggir untuk keluar daripada belenggu kemiskinan serta penindasan selain menyokong program-program amal jariah,” katanya.

Dalam pada itu, kata Mohideen, umat Islam juga perlu mengelak daripada berbuka puasa di hotel sebaliknya di rumah atau masjid bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Jemputlah jiran yang bukan beragama Islam untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini, kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×