PARLIMEN: Pendekatan menyeluruh tarik pemain nadir bumi

PARLIMEN: Pendekatan menyeluruh tarik pemain nadir bumi

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia melaksanakan pendekatan menyeluruh dalam industri bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) termasuk melihat beberapa penambahbaikan dari segi dasar untuk menarik lebih banyak pemain dalam industri berkenaan. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya juga mempunyai pertemuan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mengadakan satu pendekatan menyeluruh dalam hal itu. 

“Sebagai makluman, perkara ini kita tahu melibatkan persaingan strategi antara China dan Barat. Buat masa ini, China menguasai industri NR-REE, tetapi ada minat besar dari negara lain misalnya Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Australia. 

“Pendirian malaysia kita terbuka, kita sudah pun ada kilang memproses di Pahang dan kita ada melihat beberapa penambahbaikan yang boleh kita buat dari segi dasar yang melibatkan industri nadir bumi supaya menarik lebih banyak pemain,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berhubung strategi negara dalam perkara itu.

Nik Nazmi berkata, kilang-kilang yang terlibat di luar negara juga dirasakan lebih baik ke Malaysia untuk turut serta dalam industri teknologi atau tenaga boleh baharu. 

“Jadi pendekatan kita adalah melihat mereka dapat melabur di sini untuk terlibat di dalam industri NR-REE dari peringkat awal hingga akhir,” katanya. 

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan negeri diminta mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah NR-REE yang sedang berkuat kuasa. 

Katanya, perkara itu sebagaimana surat peringatan yang dikeluarkan pada 6 Mac lepas. 

“Pelaksanaan moratorium aktiviti pengeksportan bahan mentah NR-REE mula berkuat kuasa pada 1 Januari dan akan dinilai setiap enam bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×