PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi tidak berhasrat mengekang hak bersuara khususnya para wartawan membuat laporan susulan pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia baru-baru ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kebebasan media menjadi salah satu teras utama yang perlu disokong dan dimakmurkan lagi.
Menurutnya, kad perakuan media tidak menghalang seseorang wartawan daripada membuat dan menulis laporan.
“Kad perakuan media diberikan kepada sesiapa yang ingin datang ke Parlimen atau hadir majlis rasmi kerajaan. Ia adalah dokumen memudahcara kehadiran wartawan untuk datang acara rasmi khususnya bagi (majlis) kerajaan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta jaminan kod etika tersebut tidak akan mengekang wartawan atau laporan daripada membongkar sesuatu skandal.
Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai rasional penggubalan Kod Etika Wartawan Malaysia baharu, Fahmi berkata, ia merupakan penambahbaikan kepada Etika Kewartawanan Malaysia 1989 yang diterbitkan Malaysian Press Institute (MPI).
Katanya, penambahbaikan itu selari dengan perubahan industri media digital masa kini.
“Kod Etika Wartawan Malaysia ini akan diguna pakai oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai sumber rujukan dan panduan dalam pengeluaran serta penarikbalikan Kad Perakuan Media (KPM) untuk pengamal media di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










