PETALING JAYA: Saingan Piala TNB menutup tirai Liga Hoki Malaysia (MHL), Sabtu lalu dan semestinya barisan kejurulatihan diketuai Sarjit Singh sudah memiliki senarai yang akan dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan.
Ketua jurulatih baharu skuad Speedy Tigers itu sebelum ini, memaklumkan kemungkinan besar akan memanggil 42 pemain sebelum disaring kepada 25 pemain untuk kem pertama latihan skuad hoki negara yang dijadualkan 19 Mac ini.
Ujian pertama menanti Sarjit adalah saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bermula 4 Mei ini dan hari ini satu sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak akan diadakan.
Dalam pada itu, legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi meminta semua pihak bersabar dan harus memberi ruang serta peluang kepada Sarjit untuk membentuk semula pasukan selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membubarkan pasukan itu pada Januari lalu.
Jelasnya, Sarjit dan pasukan perlu diberikan peluang untuk merangka kembali perancangan yang lebih ampuh bagi mengakhiri kemarau penantian ke Olimpik selepas kali terakhir menyertainya di Sydney 2000.
“Kitaran (Olimpik Paris 2024) sudah tamat, maka tamatlah perkhidmatan dalam pasukan hoki kebangsaan. Kita tak layak untuk 2024 dan sekarang ini fokus tertumpu (Los Angeles) 2028.
“Ketua jurulatih juga sudah diumumkan. Buat masa ini, tak ada apa-apa lagi berita untuk jawatan yang lain. Jadi kalau dilihat, secara rasminya, saya tidak lagi sebagai pengurus pasukan hoki kebangsaan,” katanya.
Pasukan hoki negara dibubarkan Januari lalu selepas gagal ke Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN










