PETALING JAYA: Penetapan kadar gaji minimum untuk golongan siswazah dilihat sebagai langkah yang boleh menyelesaikan masalah gaji kecil dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.
Pakar akademik berpandangan, kerajaan mesti memulakan langkah itu kerana tiada garis panduan berhubung penetapan gaji minimum siswazah peringkat ijazah sarjana muda, sehingga terdapat pihak menggunakan peluang membayar gaji siswazah dengan nilai terlalu rendah.
Kerajaan pula ketika ini hanya menguat kuasa gaji minimum RM1,500 untuk majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja melibatkan beberapa sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mewartakannya pada 27 April 2022.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, disebabkan ketiadaan ketetapan gaji minimum siswazah, ini mendorong majikan atau industri mengupah siswazah dengan gaji kecil.
Sehubungan itu, beliau tidak menafikan gaji kecil mendorong siswazah untuk tidak meneruskan minat mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau sarjana.
“Kerajaan mesti memperkenal gaji minimum siswazah ini, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka menjana pendapatan setara dengan kelayakan akademik mereka. Ini juga perlu sebagai panduan pada semua pihak yang golongan ini mempunyai komitmen sama seperti golongan lain.
“Ini bukanlah perkara baharu, sebelum ini sudah dicadang tetapi hanya setakat di situ sahaja tanpa ada iltizam untuk melaksanakannya. Jika masih ada siswazah menerima kerja di bawah gaji minimum ketika kerajaan sudah menetapkannya, maka, ini adalah pilihan individu sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Anuar pada masa sama tidak menolak kecenderungan pihak majikan dan industri tidak mengikut kadar gaji minimum siswazah yang bakal ditetapkan, bagaimanapun, beliau yakin isu tersebut menemui jalan penyelesaian dengan syarat kerajaan dan industri mencapai kata sepakat melalui rundingan.
Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Ekonomi Kewangan Dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berkata, jika kerajaan tidak merancang merangka gaji minimum siswazah, langkah yang terbaik adalah meningkatkan kadar gaji minimum RM1,500 sedia ada.
“Apa yang boleh dibuat meningkatkan gaji minimum dan produktiviti buruh negara dalam jangka masa panjang. Tetapi, apa yang lebih penting masalah kekurangan jenis pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi dalam pasaran buruh dalam negara.
“Kerajaan perlu pastikan bentuk pelaburan datang ke Malaysia boleh menjana bentuk pekerjaan berkemahiran tinggi untuk siswazah kita bekerja. Oleh itu, fokus kerajaan dalam menarik pelabur asing dan juga pelaburan tempatan mesti tertumpu kepada kualiti, bukan kuantiti,” katanya.
Irwan Shah berkata, isu siswazah ‘memilih kerja’ tidak timbul kerana terdapat faktor struktural dalam pasaran buruh iaitu ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran dalam pekerjaan berkemahiran tinggi.
Katanya, disebabkan itu wujud isu terlebih kelayakan dalam pekerjaan yang diceburi dalam aspek pendidikan.
“Pekerjaan berpendapatan tinggi masih lagi kurang di Malaysia berbanding jumlah pekerja mahir yang memasuki pasaran buruh setiap tahun. Sebab itu kita perlu berhati-hati mentafsir data kadar pengangguran negara.
“Walaupun data menunjukkan kadar pengangguran rendah, tetapi, realitinya ramai yang terpaksa bekerja kerana tiada pilihan walaupun gaji tidak cukup dan setara dengan kelayakan mereka,” katanya.
Laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia oleh Institut Kajian Khazanah pada 4 Mac lalu mendedahkan, dua pertiga daripada siswazah didapati kekal ‘terperangkap’ dalam kadar gaji rendah atau kurang daripada RM2,000 walaupun memiliki tahap pendidikan tinggi.
Kajian itu mendapati, pertumbuhan gaji Malaysia adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu. Sebanyak 65.6 peratus graduan Malaysia mempunyai gaji permulaan kurang daripada RM2,000 pada 2021; 23.5 peratus bagi gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 manakala 10.8 peratus bagi gaji melebihi RM3,000.
Pada 4 April tahun lalu, Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran pernah menggesa kerajaan menggubal akta baharu yang menetapkan gaji minimum RM3,000 sebulan untuk siswazah bagi ijazah sarjana muda. – UTUSAN










