Chaplaincy banyak bantu pesakit - Utusan Malaysia

Chaplaincy banyak bantu pesakit

Peserta ACPE Malaysia bersama penyelia dari California, Reverend Rod Seeger (tengah) pada 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESIHATAN fizikal perlu seiring dengan kesihatan rohani.” Itulah antara fokus utama perbincangan penulis dengan seorang Muslim Chaplain di Institut Jantung Negara (IJN), Mohd. Khairil Anwar, 39, baru-baru ini.

Penulis begitu tertarik dengan konsep chaplaincy iaitu perkhidmatan sokongan moral dan rohani kepada pesakit dan petugas di hospital. “Ternyata istilah chaplaincy ini masih baharu di Malaysia,” jelas Mohd. Khairil yang merupakan salah seorang petugas hospital yang terlibat secara profesional dalam bidang chaplaincy di Malaysia.

Perkataan chaplain dikatakan berasal dari istilah chapel (gereja kecil) yang mana khidmat chaplaincy ini berkait rapat dengan gerakan sokongan oleh golongan pendakwah Kristian yang ditugaskan di lapangan seperti kem tentera, penjara dan hospital.

Namun, yang menariknya, asal usul istilah itu juga dikaitkan dengan perkataan Latin iaitu cappa atau cloak yang bermaksud jubah atau selimut. Dr. Sondos Kholaki, seorang Muslim Chaplain di Hospital Hoag, California, Amerika Syarikat (AS) dalam bukunya berjudul Musings of a Muslim Chaplain menerangkan bahawa maksud cloak atau selimut itu sendiri sebenarnya simbol kepada kehangatan, perlindungan, keselamatan dan sokongan yang diberikan oleh seorang chaplain kepada mereka yang memerlukan khidmatnya.

Beliau kemudian mengaitkan chaplain dengan peristiwa Saidatina Khadijah R.A yang menyelimuti serta menenangkan Rasulullah SAW yang sedang ketakutan setelah didatangi oleh Jibril A.S buat kali pertama di Gua Hira’. Secara dasarnya, chaplaincy ialah khidmat yang diberikan kepada seseorang yang memerlukan sokongan emosi dan rohani. Pada hari ini, istilah chaplain telah digunakan dengan lebih meluas dalam pelbagai sektor seperti perubatan, ketenteraan, pendidikan, organisasi atau institut dan sebagainya.

MOHD. KHAIRIL ANWAR

KAUNSELOR

Ada juga yang mengaitkan chaplaincy dengan khidmat diberikan oleh kaunselor di hospital. Sebenarnya, ada sedikit perbezaan antara kaunselor dan chaplain. Khidmat kaunselor akan didasari dengan disiplin ilmu kaunseling yang lebih bersifat theoretical dan membantu mencari penyelesaian. Manakala seorang chaplain akan lebih tertumpu kepada sokongan emosi dan rohani dalam membantu mencari keseimbangan emosi berdasarkan kecenderungan peribadi seseorang termasuk fahaman keagamaan. Tidak hanya terhad kepada ajaran sesuatu agama, seorang chaplain mampu memberikan sokongan emosi yang merentasi fahaman dan ajaran agama seseorang.

“Disebabkan khidmat chaplain ini masih baharu di Malaysia, sering terjadi salah faham apabila khidmat chaplaincy hanya dikaitkan dengan sokongan keagamaan semata-mata seperti membaca doa, upacara menghalau hantu dan kerasukan serta ibadah atau amalan kerohanian. Namun hakikatnya, tanggapan itu hanya secebis dari luasnya peranan yang dimainkan oleh seorang chaplain.

“Sebagai contoh, seseorang pesakit yang memerlukan tempoh penyembuhan lebih lama dari jangkaan mungkin disebabkan oleh terganggunya emosi gara-gara gaya hidup atau rutinnya tidak lagi dapat dilakukan apabila dimasukkan ke hospital. Rutin atau gaya hidup ini mungkin datang dari hobinya seperti berkebun, bersukan atau apa saja. Disebabkan ia tidak lagi dapat dilakukan, maka ia mampu mengganggu kestabilan emosi sehingga membuatkan mereka kurang memberikan kerjasama dengan kakitangan klinikal.

“Maka, di sinilah seorang chaplain akan mampu mengenal pasti punca dan solusi untuk membantu menstabilkan emosi pesakit,” terang Mohd. Khairil yang sudah hampir 10 tahun berkhidmat di IJN Kuala Lumpur.

Mungkin ada antara pembaca menyamakan chaplain itu dengan ahli psikologi, kaunselor atau psikiatri. Namun, setiap mereka memainkan peranan dan objektif berbeza. Tugas seorang chaplain kedengaran mudah namun mengaplikasikannya memerlukan kemahiran komunikasi yang berkesan kerana setiap individu itu mempunyai cara fikir, kecenderungan dan sikap berbeza.

KURSUS

Kemahiran komunikasi perlu merentasi latar belakang agama, bangsa dan gaya hidup. Kemahiran komunikasi itu temasuk secara lisan atau bahasa badan. Bahkan, sebahagian pesakit mungkin tidak akan memberi respons lisan apabila diziarahi. Namun, keberadaan seorang chaplain itu mampu memberikan kesan positif kepada pesakit. Oleh itu, kadang kala seorang chaplain akan membuat lawatan pengulangan secara berkala dan ia mampu membuatkan pesakit berasa dirinya lebih dihargai dan diberi perhatian.

Apa yang lebih menarik, Mohd. Khairil dan seorang lagi chaplain di IJN, Norazri Baharudin telah diakreditasikan oleh Clinical Pastoral Education of Central California (CPECC) melalui program Association for Clinical Pastoral Education (ACPE) yang julung kali diadakan di Malaysia. Kursus ACPE itu adalah program pertama di Asia Tenggara dan telah disertai 12 peserta dari beberapa insitusi perubatan di Malaysia termasuk dua orang chaplain dari IJN.

Ia telah diadakan pada 24 Februari hingga 4 April 2020 dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah kelolaan Ziyara Spiritual Care Services iaitu sebuah institusi Muslim chaplaincy di AS. Program ini adalah langkah pertama bagi memperkenalkan khidmat chaplaincy kepada institusi perubatan dan seterusnya masyarakat.

Sedar atau tidak, khidmat chaplaincy itu telah banyak membantu pesakit dan kakitangan hospital sendiri khususnya di IJN yang telah memulakan khidmat chaplaincy sejak lebih 10 tahun lalu.
Menyedari semua ini, penulis benar-benar berharap agar perkhidmatan ini dapat diberikan perhatian secara serius oleh semua institusi perubatan dan diaplikasikan di Malaysia memandangkan keberkesanannya telah pun terbukti di banyak negara-negara Eropah dan AS.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×