Tarikh akhir pengambilan pekerja asing kekal 31 Mei

Tarikh akhir pengambilan pekerja asing kekal 31 Mei

KDN mengekalkan keputusan tarikh akhir pengambilan pekerja asing sektor formal menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 adalah pada 31 Mei ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengekalkan keputusan tarikh akhir pengambilan pekerja asing sektor formal menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 adalah pada 31 Mei ini, walaupun terdapat desakan bagi membatalkan keputusan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan kerajaan untuk mengekalkan tarikh berkenaan adalah berdasarkan faktor keselamatan negara dan alasan yang kukuh.

“KDN berpaksikan kepada elemen keselamatan dan ketenteraman awam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dari aspek keperluan tenaga buruh negara dan ketiga, Agensi Kawal Selia (AKS) selaku penyelia (custodian) kepada setiap sektor yang berkaitan dari segi unjuran keperluan tenaga kerja asing berdasarkan kelayakan syarat penggajian pekerja asing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan ini membolehkan kerajaan menilai keberkesanan segala inisiatif yang sudah dilaksanakan dan mengukur secara tepat keperluan tenaga kerja asing dalam negara sebelum membuat pertimbangan keperluan pembukaan kuota penggajian pekerja asing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan tentang gesaan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) untuk kerajaan membatalkan keputusan mempercepat tarikh akhir pengambilan pekerja asing.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, keputusan ini juga memberi ruang untuk kerajaan memantau keberkesanan langkah-langkah pelarasan yang diputuskan dan seterusnya meneroka tata kelola pekerja asing lebih baik.

“Selain itu, tempoh kemasukan pekerja asing juga wajar dipendekkan selaras dengan hasrat kerajaan menyegerakan proses kemasukan pekerja asing bagi memenuhi keperluan mendesak industri.

“Keputusan ini juga diharapkan dapat mencegah eksploitasi pekerja asing yang kita dengar kebelakangan ini, dibawa masuk tetapi tiada pekerjaan, tempat tinggal teruk dan pelbagai lagi,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan mengunjurkan bahawa keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara menjelang November 2023 adalah seramai 17,000,000.

Justeru, siling yang dibenarkan bagi jumlah keseluruhan pekerja asing dalam negara seramai 2,550,000 orang.

Sehingga 29 Februari 2024, jumlah pekerja asing aktif yang direkodkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia seramai 2,130,931 orang.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Program Repatriasi Migran (PRM) merekodkan sebanyak RM2,899,900 nilai kompaun menerusi proses penawaran dan bayaran pas khas bagi tempoh tujuh hari sehingga semalam.

Jelasnya, sejak program itu bermula pada 1 Mac lalu, seramai 5,983 pendatang tanpa izin telah berdaftar dengan 1,864 telah pulang ke negara asal.

“Jumlah yang berdaftar itu terdiri daripada 3,115 permohonan warga Indonesia, Bangladesh (846), India (700), Pakistan (610), Sri Lanka (279) dan Nepal (196).

“Selebihnya, 237 orang masing-masing dari Myanmar, Filipina, Yaman, Syria, Mesir, Nigeria, Thailand, Vietnam dan China,” katanya.

Ketika ditanya sama ada KDN akan menyenarai hitam mereka yang telah pulang ke negara asal dan kembali untuk masuk ke negara ini, Saifuddin berkata, kementerian akan membuat penilaian berdasarkan kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin berkata, kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan agensi yang terbabit dalam mengendalikan permohonan visa Malaysia untuk pekerja asing warga Bangladesh.

Menurutnya, majikan kini boleh membuat permohonan eVisa secara terus ke sistem MYVISA milik Jabatan Imigresen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini