KUALA LUMPUR: Samaiden Group Berhad (Samaiden), memeterai perjanjian pembelian kuasa (PPA) strategik dengan Maxell Tohshin (Malaysia) Sdn. Bhd. (Maxell Tohshin) sebagai tanda meletakkan komitmen penting terhadap tenaga mampan dalam pembuatan.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee perjanjian tersebut ditetapkan untuk tempoh 20 tahun, menekankan dedikasi bersama antara dua syarikat terhadap tanggungjawab alam sekitar.
Katanya, di bawah perjanjian itu, Samaiden akan melaksanakan reka bentuk dan pemasangan sistem fotovoltaik (PV) solar termaju, dengan kapasiti puncak 1,028.28 kilowatt (kWp) di premis Maxell Tohshin.
Menurutnya, inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara daripada operasi pembuatan.
“Usaha ini diunjurkan dapat mengurangkan karbon dioksida (CO2) sebanyak 974.66 tan setahun, yang sejajar dengan visi kedua-dua syarikat untuk masa depan perindustrian yang lebih hijau.
“PPA kali ini lebih bermakna daripada perkongsian kerana merupakan perikatan bersama untuk menentang perubahan iklim, di samping menekankan tanggungjawab kolektif kami ke arah landskap perindustrian yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Justeru, beliau yakin selain dapat mengintegrasikan teknologi suria termaju ke dalam operasi rakan kerjasamanya itu, Maxell Toshin juga membuka jalan bagi penyelesaian tenaga yang inovatif dalam sektor pembuatan.
Jelasnya, kerjasama itu merupakan mercu tanda kemajuan dan mempamerkan potensi tenaga boleh diperbaharui (TBB) untuk merevolusikan industri tradisional sambil mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan integriti alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Urusan Maxell Tohshin, Nobuki Yahiro berkata, perkongsian bersama Samaiden melalui PPA ini merupakan satu langkah penting ke arah menerapkan kemampanan dalam operasi teras mereka.
“Ia mencerminkan pendekatan proaktif kami untuk menerima penyelesaian TBB dan mengurangkan kesan alam sekitar serta mematuhi piawaian tertinggi tanggungjawab sosial korporat.
“Kami yakin bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada syarikat kami tetapi juga menetapkan penanda aras untuk industri dalam penjagaan alam sekitar.” katanya.-UTUSAN










