ONDE-onde adalah kuih tradisional yang dibuat daripada bebola diuli daripada tepung pulut, garam, air dan daun pandan. Ia direbus sebelum disaluti kelapa parut.
Kebiasaannya kuih ini berwarna hijau dan sesuai dimakan semasa minum petang.
Berbaki tiga hari menjelang Ramadan, kuih ini pastinya menjadi pilihan pembeli kerana sering dijual semasa bulan puasa.
Usah risau sekiranya tidak habis dijamah ketika berbuka, kerana kuih ini lebih tahan lama jika disimpan dalam peti sejuk.

Cef selebriti, Karl Shafeek berkongsikan menu yang diolah semula mengikut cara dan citarasa sendiri. Menariknya, onde-onde ini berwarna biru kerana dicampur dengan air rebusan bunga telang.
Berikut dikongsikan sukatan yang sesuai dihidang untuk lapan hingga 10 orang makan.
Selamat mencuba.
BAHAN-BAHAN
*4 cawan tepung pulut
*1 cawan tepung beras
*20 kuntum bunga telang
*Gula melaka
*Sedikit garam
BAHAN DRESSING
*Sebiji kelapa parut
*Parut hanya bahagian putih sahaja. Jangan parut sehingga tempurung.
*Campurkan sedikit garam dan kukus lima hingga lapan minit untuk pastikan kelapa tahan lama.
CARA PENYEDIAAN

1.Rendam bunga telang segar dengan air panas atau suam selama lima ke enam minit sehingga mengeluarkan warna biru yang dikehendaki.
2.Campurkan air bunga telang dalam adunan tepung dan gaul hingga jadi doh yang lembut.
3.Potong dadu gula melaka dan sumbat dalam bebola doh yang dileperkan.
4.Pastikan gula melaka di tengah bebola dan tutup semula bebola doh.
5.Rebus bebola sehingga timbul (timbul bermakna sudah masak).
6.Masukkan bebola yang sudah direbus dalam kelapa parut. Sedia untuk dihidang.










