JAWATAN besar sudah tentu datang bersama tanggungjawab besar yang harus dipikul. Sebagai ‘orang tengah’ antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan rakyat, Nimmi Kamal memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran mengenai literasi kewangan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Ini selari dengan mandat syarikat untuk memperkayakan kehidupan Bumiputera dan semua rakyat Malaysia demi kemakmuran negara.
Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan PNB ini berkata usahanya kini tertumpu untuk menggalakkan rakyat mempunyai simpanan untuk masa depan.
“Saya faham keadaan pada ketika ini sangat sukar dan ramai yang susah untuk menyimpan.
“Tetapi kami di sini ingin memberikan kesedaran betapa pentingnya pengurusan kewangan yang baik dan mempunyai simpanan.
“Tidak salah untuk menggunakan simpanan ketika waktu terdesak tetapi apabila kita mempunyai sedikit wang eloklah menabung kembali untuk keselesaan hari tua. Sebagai wanita atau ibu, kita juga perlu memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak tentang kepentingan menyimpan wang,” katanya kepada Seri.
Tahun lalu, media melaporkan simpanan masa depan rakyat, membimbangkan.
Majoriti rakyat dikatakan berisiko tidak cukup simpanan persaraan manakala 84 peratus tiada simpanan tetap setiap bulan.
Banyak kelebihan
Sedangkan, kata Nimmi, negara memiliki syarikat pengurusan unit amanah seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dikendalikan PNB.
ASNB menawarkan tabung unit amanah harga tetap antaranya Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) serta Amanah Saham Bumiputera 3 – Didik (ASB 3 Didik).
Kelebihan itu membolehkan rakyat melabur dengan jumlah yang sedikit sahaja tetapi mampu memberikan keuntungan dalam jangka masa panjang.
“Tidak perlu pun melabur beratus atau beribu, cukup dengan hanya RM10 sahaja.
“Bila buka ASB, duit itu cuma akan berganda dan tidak akan berkurang. Ia adalah produk yang paling selamat.
“Kalau saya bercakap dengan orang asing tentang ini mereka akan tanya bagaimana hendak melabur tetapi ini memang untuk rakyat Malaysia sahaja. Di mana-mana pun tidak akan jumpa kelebihan seperti ini,” jelasnya.
Tambahnya, memandangkan PNB juga mempunyai pelaburan dalam syarikat seperti Maybank, Sime Darby dan PROLINTAS, maka secara tidak langsung pelabur turut menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat-syarikat berkenaan.
Justeru, beliau komited dengan matlamat yang telah diperbaharui iaitu ‘Mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi’.
“Kami berazam untuk terus menjadi jenama dipercayai pada saat paling penting dalam hidup mereka dan perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih baik dari aspek kewangan dan kebijaksanaan,” katanya. – UTUSAN










