JAKARTA: Seorang wanita di Padang Pariaman, Sumatera Barat maut selepas suaminya menyuruh rakannya untuk melanggar mangsa menggunakan trak.
Lapor Kompas.com, kejadian itu berlaku di Korong Ujung Guguak, Sumbar kelmarin dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian susulan cedera parah di bahagian kepala.
Menurut jurucakap polis, Harmon, pemandu trak tersebut sudah ditahan dan mendedahkan suami mangsa menyuruhnya untuk melanggar isterinya.
Katanya, insiden menyayat hati itu bermula selepas pasangan suami isteri tersebut bergaduh di rumah mereka sebelum suspek keluar pergi ke rumah rakannya.
“Mangsa mengejar suaminya dengan menaiki motosikal dan setibanya di rumah berkenaan, pasangan itu bertengkar sekali lagi sebelum suspek menaiki trak bersama rakannya.
“Akibat tidak tahan, lelaki itu mengarahkan rakannya melanggar isterinya dan sempat turun daripada trak untuk melihat keadaan mangsa sebelum melarikan diri,” jelas Harmon.
Jelas beliau, mayat mangsa kemudiannya ditemukan penduduk kampung dan polis dikerah ke lokasi kejadian.
Sementara itu, Harmon memberitahu suami mangsa masih belum ditahan dan polis giat mengesannya.











