PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pelbagai lapisan pegawai-pegawai kerajaan sebagai tanda mengiktiraf sumbangan dan khidmat cemerlang mereka.
Dalam satu kenyataan di lama akaun rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka dan keluarga diraja Johor menerusi Yayasan Diraja Johor telah mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat memerlukan.
Titah Seri Paduka, ini termasuk memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas.
“Seri Paduka sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat. Contohnya, pada 2010, Seri Paduka berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa tinggi kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pada 2018, Seri Paduka mengurniakan Proton Suprima kepada semua pegawai daerah di Johor. Dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Seri Paduka juga pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada September 2020.
“Baginda juga pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021,” titah Seri Paduka dalam kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Seri Paduka hari ini turut berkenan mengurniakan Proton X90 kepada lima pegawai kerajaan yang disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim.
Antaranya Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md. Salleh.
Selain itu, turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka adalah bekas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd. Ariffin dan Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim. – UTUSAN











