SAUDARA PENGARANG,
Dari 1990 hingga 2005, pelabuhan darat pertama di Asia Tenggara, Terminal Kargo Ipoh atau Ipoh Cargo Terminal Sdn. Bhd. (ICT) mempunyai pasukan pengurusan yang cekap. Mereka yang berpengalaman menguruskan Lembaga Pelabuhan Klang sebelum ini telah membawa banyak kejayaan besar. Namun, barisan pengurusan baharu dilihat gagal mengekalkan reputasi cemerlang ICT.
Kami, Kesatuan Kakitangan ICT (KKICT) yang diiktiraf oleh syarikat pada 1999 telah mengkaji cabaran yang dihadapi dari 2003 hingga 2020 dan mengemukakan cadangan dan saranan kepada Lembaga Pengarah bagi membawa perubahan dari segi konsep perniagaan sejajar dengan persaingan semasa global. Bagaimanapun, usaha tersebut seolah-olah tidak dipedulikan apabila tiada sebarang tindakan berkesan daripada pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah.
Pada 7 Mac 2023, kami mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi membawa nafas baharu kepada KKICT selepas menunggu 10 tahun dengan harapan mahu memajukan ICT.
Antara isu-isu yang kami bangkitkan dalam pertemuan itu adalah perkhidmatan tren KTMB untuk kargo ICT yang tidak menepati permintaan, mengenakan kadar tambang yang terlalu tinggi, kos bayaran kadar tambang untuk wagon kosong, kelewatan tren dan sekatan had muatan kontena berat.
Kesatuan juga menyeru Kementerian Pengangkutan agar dapat membawa perubahan dalam pengurusan ICT untuk lebih proaktif dan boleh bekerjasama dengan KKICT demi kemajuan syarikat.
Seperkara lagi adalah isu kebajikan kakitangan bukan eksekutif. Perjanjian bersama (CA) yang pertama di antara ICT dengan KKICT ditandatangani mulai 1999 dan diperbaharui setiap tiga tahun. Bagaimanapun, CA8 (2021-2023) masih dalam pertikaian di Mahkamah Perusahaan di Ipoh. CA7 (2018-2020) masih lagi berkuat kuasa sehingga perjanjian bersama yang baharu dibuat.
Pada 15 Februari lalu, KKICT telah memenangi kes Mahkamah Perusahaan seksyen ketidakpatuhan untuk CA7 dalam Artikel Kenaikan Gaji Tahunan. Kes difailkan di Mahkamah Perusahaan oleh KKICT kerana ICT gagal mematuhi CA7. Sehingga kini, pengurusan ICT masih berdiam diri dan belum memberi maklum balas mengenai perkara ini, membuatkan KKICT seperti gantung tidak bertali.
KKICT juga amat kecewa dengan tindakan pengurusan ICT yang masih lagi berdegil untuk membuat bayaran hak gaji kakitangan dan telah memfailkan kes rayuan di Mahkamah Tinggi untuk membantah award Mahkamah Perusahaan bagi CA7.
Kami juga berharap CA8 mendapat satu penyelesaian positif supaya gaji kakitangan bukan eksekutif dapat diselaraskan mengikut skala gaji baharu.
KKICT yakin ICT boleh kembali ke zaman kegemilangan jika dapat melaksanakan pelan tindakan yang lebih berkesan serta membawa keyakinan kepada para pelanggan daripada industri-industri seluruh Perak.-UTUSAN
M. MUNIANDY
Presiden Kesatuan Kakitangan
Ipoh Cargo Terminal Sdn. Bhd. (ICT)









