Khat dalam elemen lukisan abstrak

Khat dalam elemen lukisan abstrak

PELUKIS khat, Yazri Izwan menghasilkan lukisan abstrak pemandangan laut di kediamannya di Putrajaya. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCUBAAN sekadar suka-suka melukis doodle bagi latar belakang papan iklan (billboard) bagi kempen produk gula, menjadi titik tolak kepada lelaki ini terlibat secara serius menghasilkan lukisan khat dan abstrak.

Semasa pandemik Covid-19 melanda negara pada 2021,Yazri Izwan Yahya, 43,  sekadar menemankan seorang rakan bagi menyediakan set dan props pengambaran produk berkenaan.

Jelasnya, ketika itu, jurufoto bagi projek tersebut memerlukan pelukis latar belakang bagi set penggambaran yang melantik penyanyi, Marsha Milan Londoh sebagai dutanya.

“Tidak semena-mena saya diminta membuat lukisan yang diperlukan memandangkan rakan yang sepatutnya membuat lukisan doodle itu perlu fokus dengan satu lagi set penggambaran lain. 

“Ikutkan sudah lama tidak melukis, tetapi saya memberanikan diri untuk mengasah skil melukis.  Minat saya sebenarnya masih lagi menebal dalam diri,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Lukisan doodle basikal dan belon untuk set pengambaran bersama selebriti itu, akhirnya dicetak dan terpampang di beberapa papan iklan di seluruh negara. 

Bertitik-tolak daripada itu, beliau terus mengorak langkah untuk meneroka lebih banyak teknik dan menjual lukisan khat yang berlatarkan abstrak.

Yazri yang berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, berkata, beliau banyak meluangkan masa untuk melukis selepas waktu kerja dan kerap memuat naik hasil kerja seninya ke media sosial.

“Niat asal saya melukis ini hanyalah sekadar aktiviti di masa senggang sahaja dan lukisan yang dibuat hanya untuk digantung di dinding rumah.  

“Apabila saya berkongsi hasil karya dalam media sosial, ramai rakan dan kenalan yang memberi komen membina dan mula bertanya jika saya mengambil tempahan lukisan,” katanya.  

Pada peringkat awal memberanikan diri menjadi pelukis, kongsinya, pelbagai insiden berlaku sehingga menyebabkan dirinya hampir berputus-asa.  

“Pernah tersalah pilih medium warna, peralatan melukis yang terhad dan pelanggan yang kurang berpuas hati dengan hasil lukisan yang mereka tempah.

“Namun, apabila mendapat respon positif, semangat saya kembali berkobar-kobar untuk melukis secara serius,” ujarnya. 

LEBIH KOMERSIAL 

Secara jujurnya, Yazri yang berasal dari Johor Bahru berkata, beliau tidak menguasai semua jenis tulisan khat sebaliknya lebih memfokuskan pada khat Thuluth.

Jelasnya, karya-karya yang dihasilkan juga memfokuskan pada aspek komersial dan tidak mengikut hukum penulisan khat secara terperinci.  

Selain mahir melukis lukisan abstrak, Yazri mengabungkan kemahiran dan teknik lukisan abstrak menjadi latar kepada tulisan yang ditempah pelanggan.

“Lukisan-tulisan khat mempunyai banyak jenis dan kategori antaranya ialah Nasakh, Thuluth, Diwani, Diwani Jali, Farsi, Nasta’liq, Maghribi, Mushafi, Fatimi dan Riq’ah. Semuanya mempunyai keunikan dan seni tulisan khat tersendiri.

“Kalau penulis khat, mereka mempunyai cara penulisan tersendiri serta ada ukuran, lenggok dan cangkuk tertentu pada setiap huruf yang dihasilkan. 

“Saya pula tidak begitu, kerana lukisan khat yang dihasilkan lebih kepada aspek komersial sebab saya tidak mahu terikat dengan hukum penulisan khat. 

“Apa yang saya hasilkan ini ialah khat yang sudah diabstrakkan dan banyak menggunakan berus lukisan berbanding kayu resam,” jelasnya yang tidak pernah menyertai kelas khat secara formal. 

Disoal tentang cabaran, Yazri berkata, dirinya sentiasa ‘berperang’ dengan masa, mood dan skil sepanjang menghasilkan lukisan seni berkenaan. 

Sepanjang tempoh empat tahun berkecimpung secara serius dalam lukisan khat-abstrak, tanpa disedari, Yazri berjaya menjual hampir 100 unit lukisan khat.  

Secara tidak langsung, minat itu mendatangkan pendapatan sampingan buat dirinya yang masih bujang.

KHAT FARSI 

Mengenai perancangan masa hadapan, beliau berhasrat mahu mempelajari lebih banyak teknik penulisan khat kerana masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

Kongsinya, beliau mahu meneroka keunikan tulisan seni khat Farsi yang banyak digunakan di Pakistan.

“Khat Farsi jarang dibuat oleh pelukis khat di negara ini kerana lebih ramai yang cenderung menghasilkan khat Thuluth dan Kufi.

“Saya gemar meneroka pelbagai teknik dan kaedah lukisan serta tulisan khat agar karya saya lebih relevan sepanjang masa,” katanya.  

Yazri menjual karya lukisan khatnya dengan harga bermula RM250 hingga RM1,200 bergantung kepada saiz, jenis ayat dan corak.

TULIS KHAT SEJAK KECIL 

Penulisan khat tidaklah terlalu asing buat Yazri kerana beliau pernah menyertai pertandingan sejak di bangku sekolah rendah.

Percubaan demi percubaan, kongsinya, pernah melayakkan dirinya merangkul johan bagi pertandingan khat di kampung halamannya di Johor Bahru.   

Saya pernah mewakili Sekolah Agama Taman Sri Tebrau ke pertandingan tulisan khat Peringkat Kecil (darjah satu hingga tiga) sempena Perujian Membaca Al-Quran, Berzanji, Tafsir Ayat dan Tulisan Khat Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor.

“Pertandingan khat di peringkat kecil itu adalah Khat Nasakh. Kali pertama memasuki pertandingan berkenaan, saya mendapat tempat ketiga bagi sekolah-sekolah agama di Zon Pelawat Timur.

“Pada tahun berikutnya, saya menyertai lagi pertandingan khat bagi kategori sama (peringkat kecil) dan berjaya menjadi johan yang melayakkan saya mewakili Zon Pelawat Timur ke peringkat daerah. Pada pertandingan tersebut, saya berjaya menjadi Johan Daerah Johor Bahru,” kongsinya. 

PROFIL PELUKIS

Nama : Yazri Izwan Yahya

Pekerjaan :

*Pegawai Tadbir & Diplomatik di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri  

*Pelukis Khat-Abstrak

Tarikh Lahir : 12 Januari 1981

Tempat Lahir : Johor Bahru, Johor

Pendidikan :

*Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau, Johor Bahru

*Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur

*Sarjana Muda Sains, (Teknologi Biosumber, Kertas & Penglitup) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

*Sarjana Sains (Teknologi Biosumber, Kertas & Penglitup), USM

Pelukis Idola : Rajan Seth

Penyertaan: 

*Pandora Exhibition di Hotel Four Seasons, KL (2023) 

*Art For All di Karya Janda Baik (2024) 

*Pameran Seni Kedah di Cinta Sayang Resort, Sungai Petani (Februari 2024) 

*Charity Exhibition di PPUM (Februari-Mac 2024) 

Pelantar Media Sosial :

*Instagram (@yiy_melukis)

*TikTok (@yiy12181)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN