Empat Bazar Ramadan Rahmah di Melaka

Empat Bazar Ramadan Rahmah di Melaka

ZULKIFLEE Mohd. Zin memberikan bubur lambuk kepada orang ramai ketika Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Menyambut Ramadan 2024 di hadapan Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat Bazar Ramadan Rahmah (BRR) akan beroperasi sepanjang Ramadan di negeri ini yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Zulkiflee Mohd. Zin berkata, lokasi BBR adalah di Taman Cempaka, Masjid Tanah, Jasin Bestari dan Masjid Al-Alami MITC, Ayer Keroh.

Menurutnya, BBR menempatkan kira-kira 50 peniaga di lokasi terpilih dengan menawarkan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah dengan harga di bawah RM5.

“Selain itu, untuk tahun ini terdapat 51 bazar Ramadan dan sembilan bazar Aidilfitri akan beroperasi di negeri ini pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa bermula minggu depan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana membuka bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi memberi peluang kepada golongan peniaga mencari rezeki sepanjang bulan puasa.

“Saya jangkakan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, ia memberi ruang kepada pelancong dari luar negeri ini untuk datang ke sini berbuka puasa kerana kita tahu Melaka cukup terkenal dengan pelbagai juadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Rumah dan Pengedaran Bubur Lambuk Sempena Menyambut Ramadan 2024 di hadapan Kompleks Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh di sini, semalam.

Tambah Zulkiflee, sebanyak 23 tapak bazar Ramadan adalah di bawah kendalian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 10 tapak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), lapan tapak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 10 tapak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Unit Kerajaan Tempatan dengan kerjasama PBT telah mengadakan pertemuan dan taklimat dengan semua peniaga terlibat pada 4 Mac lalu.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memantau tahap kebersihan di semua lokasi penganjuran bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri bagi memastikannya sentiasa bersih sempena TMM 2024,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×