5,041 individu ditahan dalam Op Tapis Khas 2/24

5,041 individu ditahan dalam Op Tapis Khas 2/24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 5,041 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan racun menerusi Op Tapis Khas 2/24 di seluruh negara dari 4 Mac hingga 6 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menahan dan memeriksa seramai 5,352 individu dalam operasi itu.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 2,855 penagih dadah termasuk empat daripadanya adalah penjawat awam.

“Selain itu, kami menahan 497 tokan termasuk masing-masing seorang penjawat awam serta seorang pelajar.

“Polis turut menahan 186 individu yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah serta 1,503 individu atas pelbagai kesalahan termasuk seorang penjawat awam dan tujuh pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kok Chin, polis merampas 16.7 kilogram (kg) dan 10.22 liter pelbagai jenis dadah serta 20.91kg serta 625 liter pelbagai jenis racun dianggarkan bernilai RM324,596 dalam operasi itu.

“Antara dadah yang dirampas adalah heroin, syabu, ketamin, ganja, ekstasi dan lain-lain. Bagi kategori racun yang dirampas pula membabitkan daun ketum, air ketum dan pil psikotropik.

“Jumlah rampasan itu boleh digunakan seramai 68,885 orang,” katanya.

Jelas beliau, kesemua tangkapan dalam kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ujarnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan pelbagai aset bernilai RM870,039 disita.

“Ia membabitkan wang tunai berjumlah RM110,440, kenderaan bernilai RM595,500, barang kemas bernilai RM163,599 dan jam tangan bernilai RM500.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah serta racun bersama sitaan harta dianggarkan RM1.19 juta,” katanya.

Menurut Kok Chin, seramai 10,832 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan racun menerusi Op Tapis Khas Siri 1 dan Siri 2 2024 yang dijalankan pada Januari dan Mac lalu.

“Selain itu, kami merampas 133kg dan 10.57 liter pelbagai jenis dadah selain 32.9kg serta 16,701 liter pelbagai jenis racun dianggarkan bernilai RM934,666 dalam operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,081 individu yang ditahan adalah penagih, tokan (1,031 orang), individu dikehendaki (433 orang), Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) (119 orang), Seksyen 39C ADB 1952 (579 orang) dan lain-lain kesalahan (2,589 orang),” katanya.

Katanya, seramai 2,340 pegawai dan anggota polis terbabit dalam Op Tapis Khasi 2/24 dengan 3,727 kawasan Felda, Felcra, Projek Perumahan Rakyat (PPR), perumahan, perkampungan nelayan dan sarang penagihan digempur selain mengadakan sekatan jalan raya (SJR).

“Objektif operasi ini adalah untuk mengesan dan menahan tokan-tokan dadah di SJR selain memusnahkan sarang penagihan dadah termasuk mengambil tindakan ke atas penagih-penagih tegar.

“Pada masa sama, polis juga mahu mengesan dan menahan individu dikehendaki atas kesalahan dadah dan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang sudah dikenal pasti,” katanya.

Tambah beliau, polis terutama JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan serta pengedaran dadah.

“Kami berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222 untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×